SYARIKAT pengeluar telefon bimbit tempatan, MMobile Sdn Bhd (MMobile) akan memperkenalkan model pertamanya Januari tahun depan bagi pasaran golongan pertengahan hasil kepakaran luar dan jurutera tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainudin Mohd Salleh, berkata selain model pertama itu, syarikat akan memperkenalkan enam model lain sepanjang 2006 yang akan memenuhi permintaan cita rasa pelanggan dan tahap pendapatan.

“Bagi mengeluarkan model telefon ini, kami sudah membelanjakan kira-kira RM10 juta setakat ini dan jumlah itu akan bertambah sehingga RM40 juta menjelang tahun depan.

“Kami menjangkakan model ini dapat dijual sehingga 850,000 unit di seluruh dunia pada tahun pertama pengenalannya dengan 350,000 unit adalah untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan VC Communications Sdn Bhd (VC Communications) dan Kosmo Technology Industrial Berhad (Kosmo Technology) di Kuala Lumpur, semalam.

Syarikat itu juga melantik Juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi sebagai duta jenama rasmi MMobile bagi mempromosi jenama MMobile.

Pada majlis itu, MMobile diwakili Zainudin manakala VC Communications oleh Ketua Pegawai Operasinya, Zain Shah Mohamed Sha dan Kosmo Technology diwakili Pengarah Urusannya, Norhamzah Nordin manakala Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management Sdn Bhd, Freddie Fernandez mewakili syarikatnya.

Majlis disaksikan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

(Harian Metro – 25/10/2005)

MENJELANG akhir bulan ini, negara dijangka akan melakar sejarah dalam dunia telekomunikasi apabila telefon bimbit pertama buatan syarikat tempatan, M dot Mobile Sdn Bhd (M.Mobile) model M10 diperkenalkan di pasaran.

M10 yang beratnya hanya 75 gram adalah telefon bimbit berkamera digital 330K VGA yang akan dijual dengan harga RM500 dan dijangka mampu memenuhi keperluan pengguna tempatan.

Produk ini memanfaatkan tenaga jurutera tempatan sepenuhnya tersedia dengan ciri rangkaian GSM 900/1800MHz dan tersedia dengan sokongan lima bahasa iaitu Inggeris, China, Melayu, Russia dan Arab untuk membolehkannya mengorak langkah menerokai negara antarabangsa.

Selain keupayaan storannya menyimpan sehingga 500 SMS, M10 juga tersedia dengan ciri yang bersesuaian dengan keperluan pengguna Islam seperti panduan arah kiblat dan laungan azan apabila masuk waktu sembahyang.

Telefon bimbit tempatan ini yang dirancang pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus mendapat sokongan rakyat Malaysia dalam memastikan produk Malaysia boleh bersaing dengan jenama terkemuka lain seperti Nokia, Motorola dan Samsung.

Semoga harapan Ketua Pegawai Eksekutif M.Mobile, Ir Zainudin Mohd Salleh meletakkan M.Mobile di kalangan 10 pengeluar utama dunia telefon bimbit tercapai hasil sokongan pengguna tempatan.

Sumber: Berita Harian

Sumber petikan: Utusan Archive, Maklumat berkaitan, AIFA perkenal tiga telefon mudah alih dalam Ekspo OIC

PERTAMA kali dalam sejarah penubuhan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada tahun 1969, Malaysia sebagai tuan rumah sidang kemuncak ke-10 memperkenalkan Ekspo OIC. Selama enam hari bermula 14 Oktober lalu dan berakhir pukul 6 petang ini, ekspo itu berlangsung di kawasan seluas 20,000 meter persegi, bersebelahan dengan Pusat Konvensyen Putrajaya (PCC) yang menjadi tempat sidang kemuncak itu.

Ekspo ini dianjurkan oleh F&R Exhibition and Conference Sdn. Bhd., dengan penyertaan kira-kira 450 syarikat dari 30 negara anggota. Empat negara bukan anggota – China, Perancis, Taiwan dan Korea Selatan turut mengambil bahagian. China misalnya diwakili oleh 30 syarikat.

Ekspo ini menampilkan konsep showcase, pavilion korporat, pavilion industri dan bazar. Sambil melawat pameran para pengunjung dapat mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran ataupun nasyid.

Sebelum itu, selepas mendaftar diri, para pengunjung bolehlah mendapatkan minuman tin percuma Mecca-Cola yang akan berada di pasaran negara ini pada bulan depan. Minuman yang diusahakan oleh usahawan Perancis yang berasal dari Tunisia itu mengambil sempena nama sebuah puak Amerika dari Washington yang dibunuh oleh pengasas AS. Mecca-Cola diharap akan mengingatkan orang ramai bahawa pembunuhan kaum yang pertama ialah di AS dan tindakan keganasan yang pertama juga dilakukan di sana.

Kebanggaan

Ruang utama tapak ekspo itu mempamerkan kenderaan kebanggaan negara iaitu Proton. Sebagai tuan rumah Malaysia menampilkan pelbagai produk yang menjadi kebanggaan dan kejayaan negara termasuk dalam penyediaan perkhidmatan seperti Telekom, Tenaga Nasional Berhad, Petronas dan pelbagai agensi kerajaan lain.

Secara keseluruhannya, antara produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang ekspo itu ialah pendidikan, pelancongan, minyak dan gas serta makanan. Segmen evolusi kesenian dan tamadun Islam juga diadakan. Ia mempamerkan artifak seperti bongkah emas tulen menyerupai kucing duduk dan kacip hukum abad ke-16.

Begitu juga dengan koleksi pendekar zaman Kesultanan Melaka seperti buku Hikayat Hang Tuah, keris paku dulang, pisau tumbuk lada serta gelang Hang Tuah yang berusia hampir 500 tahun.

Turut menarik perhatian ialah koleksi peribadi Sultan Brunei yang berusia antara 200 hingga 900 tahun. Pavilion Brunei ini antara lain mempamerkan manuskrip dan mushaf al-Quran, tongkat dan tasbih. Koleksi seperti ini jarang dibawa ke luar negara dan dipamerkan di bangunan Darul Iftah di Bandar Seri Begawan.

Brunei secara keseluruhannya mempamerkan perkembangan dan kemajuan negara dalam bidang politik hubungan antarabangsa, pendidikan serta ekonomi.

Begitu juga dengan negara-negara lain yang mempamerkan kejayaan mereka dalam pelbagai bidang industri dan penyelidikan. Melalui ekspo ini, para pengunjung yang termasuk pemimpin negara-negara Islam dapat mengetahui dan mengenali lebih dekat, kejayaan yang ada di kalangan negara Islam. Dengan pendekatan ini, ia membuka peluang hubungan perdagangan yang lebih erat di kalangan anggota OIC. Dan secara tidak langsung, ia membuktikan keupayaan negara Islam dalam pelbagai bidang. Seperti kata Dr. Mahathir, masyarakat Islam bukannya golongan kelas kedua dalam semua hal.

Selepas penat melawat pelbagai kejayaan negara-negara anggota, bagi yang gemar membeli-belah bolehlah berkunjung ke bazar yang diadakan di tapak yang sama. Di situlah pelbagai barangan bukan sahaja dari Malaysia tetapi negara-negara lain dijual. Misalnya kurma Iran, batu atau tembikar China, karpet/permaidani dari Pakistan dan pelbagai lagi. Justeru bagi yang belum melawat, masih ada masa sehingga pukul 6 petang ini untuk berkunjung ke Ekspo OIC di samping melihat keindahan Putrajaya.

Sumber petikan: Utusan Malaysia Archive 2003

PUTRAJAYA 17 Okt. – Syarikat Aifa Telecommunication Sdn. Bhd., berjaya mengeluarkan tiga jenis model telefon mudah alih yang dipromosikan dalam Ekspo OIC 2003, di sini.

Pengurus Pemasarannya, Zulhaimi Narin berkata, ketiga-tiga model telefon itu ialah AF8, GSM Phone dan CDMA Phone yang akan mula memasuki pasaran pada November ini.

“Telefon ini adalah buatan Malaysia sepenuhnya yang telah mendapat perakuan Sirim,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini ketiga-tiga model telefon keluaran Aifa Telecommunication Sdn. Bhd. itu telah menerima tempahan untuk dieksport ke Indonesia dan Kazakhtan.

Katanya, AF8 ialah telefon bimbit biasa, manakala GSM Phone serta CDMA Phone ialah telefon mudah alih yang besar dan sesuai untuk digunakan di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, model AF8 berharga RM499 seunit dan GSM Phone serta CDMA Phone masing-masing berharga RM599 seunit.

“Kita yakin ketiga-tiga model telefon yang mempunyai kilang pembuatannya di Kapar, Klang itu akan mendapat pasaran meluas,” katanya.

Zulhaimi berkata, sungguhpun Aifa Telecommunication Sdn. Bhd., baru menceburi bidang pengeluaran telefon mudah alih ini, tetapi tenaga di belakang tabirnya adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas di dalam bidang berkenaan.

AIFA Telecommunication Sdn Bhd (Aifa), syarikat milik penuh Bumiputera memperkenalkan telefon bimbit model AF88 dengan ciri Islamik yang sesuai untuk pengguna tempatan di pasaran, baru-baru ini.

Ia mempunyai aplikasi waktu solat seperti Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak yang membolehkan pengguna diingatkan dengan rakaman azan dari Masjidil Haram di Makkah apabila masuk waktu solat dengan kod arah kiblat mengikut lokasi secara automatik terpapar di skrin.

“Model sulung yang memasuki pasaran adalah AF88 Simfoni dengan spesifikasi penting seperti menyokong kegunaan tiga jalur GSM 900/1800/PCS 1900 dan dilengkapi fungsi GPRS 10, SMS (khidmat pesanan ringkas) dan MMS (khidmat pesanan multimedia).

“Fungsi GPRS membolehkan pengguna mengakses Internet dengan jalur lebar yang lebih luas dan cepat untuk mendapatkan imej, data dan suara.

“Ia juga mempunyai fungsi WAP 1.2.1 dan 14.4 KBit/s yang membolehkan orang ramai menggunakan pelbagai aplikasi GPRS seperti melihat trafik, menghantar/menerima gambar MMS dan sebagainya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Telefon itu mempunyai dua skrin iaitu skrin biasa di dalam dengan resolusi warna 65,000 piksel dan skrin luaran (apabila ditutup) warna 4,000 piksel, yang memaparkan nombor dan nama pemanggil serta aplikasi jam analog yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa pengguna.

Laman Web Telefon Bimbit AIFA

Sumber Petikan: http://www.hmetro.com.my/