Sumber: Berita Harian: 16/10/2004

STOCKHOLM: Mereka yang menggunakan telefon bimbit sekurang-kurangnya sejak 10 tahun lalu mungkin mengalami risiko mendapati ketumbuhan otak yang unik, lapor satu kajian yang disiarkan oleh jurnal antarabangsa, Epidemiology.

Satu pasukan penyelidik di Institut Perubatan Alam Sekitar di Institut Karolinska di Stockholm, Sweden, mendapati penyakit ketumbuhan (tumor) itu yang dikenali sebagai akoustik neuroma, barah pada sebelah kepala di mana telefon bimbit selalu diletakkan, meningkat empat kali ganda sekarang.

Kerja-kerja penyelidikan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada agenda penyelidikan penggunaan telefon bimbit oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia, dan pakar bidang terbabit berkata, kajian itu mesti dilihat secara serius kerana ia mungkin mencetus kebimbangan di kalangan pengguna mengenai risiko dihadapi dalam menggunakan telefon terbabit.

“Penyelidik Karolinska dihormati di seluruh dunia dan kajian ini akan memaksa pelbagai agensi kesihatan melihat semula kepada risiko penggunaan telefon bimbit,” kata Louis Slesin, penerbit Microwave News, yang memberi perlindungan kepada pengguna sejak telefon itu mula diperkenalkan.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya satu kajian yang dilakukan ke atas industri telefon bimbit pernah mencetus kebimbangan mengenai kemungkinan wujud kaitan antara telefon terbabit dan tumor otak.

Bagaimanapun, pegawai industri telefon bimbit berkata penyelidik Sweden itu hanya melakukan satu kajian dan tidak ada kesimpulan yang boleh dibuat dari hasil kajian berkenaan.

Kajian berkenaan yang membabitkan 150 pesakit akoustik neuroma dan 600 pengguna telefon yang sihat, adalah satu daripada sekurang-kurangnya enam kajian yang menunjukkan kemungkinan terdapat hubungan antara pengunaan telefon bimbit dan penyakit akoustik neuroma.

Kebanyakan kajian bagaimanapun tidak mempunyai ramai pengguna telefon bimbit jangka panjang, seperti yang dilakukan oleh penyelidik Karolinska.

Akoustik neuroma adalah tumor yang tidak bersifat barah, berlaku atas saraf yang mempunyai hubungan dengan otak dan bahagian dalam telinga. Simptom awal paling biasa ialah kehilangan pendengaran tapi apabila tumor itu semakin membesar, ia akan menolak ke arah tisu otak dan boleh membawa maut sekira tidak diberi rawatan segera.

Bagaimanapun, tumor ini jarang berlaku dan setakat ini hanya dialami seorang daripada 10,000 manusia. – Agensi

CYBERJAYA: Hampir separuh daripada 25.3 juta rakyat Malaysia memiliki telefon bimbit dengan 30 peratus daripadanya berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapati Selangor, termasuk Putrajaya adalah negeri paling ramai pengguna telefon bimbit iaitu 24.8 peratus, diikuti Johor 13.2 peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 9.5 peratus.

Kajian juga mendapati remaja dan kanak-kanak menjadi kumpulan pemilik telefon bimbit kedua terbesar iaitu 12.3 peratus.

SKMM juga mendapati telefon bimbit yang mula dipasarkan secara komersial di negara ini lebih 10 tahun lalu, kini mengambil alih fungsi khidmat talian tetap dengan hampir 60 peratus daripada pemilik telefon bimbit tidak melanggan khidmat talian tetap.

Kajian itu berasaskan populasi 12.3 juta pengguna telefon bimbit yang direkodkan SKMM.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Industri SKMM, Bistamam Siru Abdul Rahman, berkata kajian merumuskan telefon bimbit kini menjadi suatu keperluan dan peralatan peribadi dalam gaya hidup rakyat Malaysia.

Apabila kadar pemilikan telefon bimbit menghampiri separuh daripada populasi negara, kita dapat menilai bahawa telefon bimbit kini menjadi peralatan penting dan peribadi sifatnya.

Malah, ada sekolah melaporkan hampir separuh daripada murid Tahun Empat, Lima dan Enam memiliki telefon bimbit, katanya pada sidang media mengumumkan hasil kajian itu di sini semalam.

Ini adalah kali pertama SKMM melakukan kajian penggunaan telefon bimbit di kalangan rakyat Malaysia yang berdasarkan sampel 4,925 pelanggan telefon bimbit yang dipilih secara rawak melalui sistem komputer.

Kajian hampir dua bulan mulai 22 Julai sehingga 19 September lalu dikendalikan di Pusat Soal Selidik Telefon Berkomputer (CATI) di Shah Alam membabitkan kos RM40,000. SKMM bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi tempatan yang berkongsi data dan maklumat mengenai pelanggan.

Antara lain, kajian melihat aspek negeri paling ramai pengguna telefon bimbit, etnik, umur dan jantina pengguna serta pecahan sektor pengguna bandar dan luar bandar.

Bistamam berkata, kajian juga merumuskan bahawa kemudahan telefon prabayar terus berkembang dan menguasai 80 peratus pasaran kerana menawarkan kos penggunaan telefon bimbit yang rendah.

Beliau berkata, pengendali telekomunikasi talian tetap seperti Telekom Malaysia Bhd (Telekom Malaysia) mungkin menerima kesan daripada penggunaan telefon bimbit yang tinggi di kalangan pengguna tempatan seperti yang direkodkan sekarang.

Bistaman berkata, 30 peratus daripada responden yang disoal selidik berpendapatan kurang RM1,000, manakala 19.1 peratus lagi tidak mempunyai gaji, iaitu pelajar sekolah dan suri rumah.

Sebanyak 41.5 peratus responden berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000, manakala 6.7 peratus lagi bergaji RM3,000 hingga RM5,000. Sebanyak 31 peratus daripada pengguna yang ditem ubual mempunyai pendidikan sehingga tahap sekolah menengah.

Sebanyak 41.2 peratus pengguna lagi mempunyai pendidikan menengah lebih tinggi, manakala 19.6 peratus pemegang diploma atau ijazah. Penemuan itu bagaimanapun tidak menunjukkan golongan berpendidikan tinggi tidak memiliki telefon bimbit kerana sampel yang dianalisa adalah kumpulan kecil dalam masyarakat.

Bistamam berkata, kajian juga menunjukkan 61.1 peratus daripada responden adalah pengguna lelaki, manakala 38.9 peratus lagi wanita.

Beliau berkata, 87.1 peratus daripada responden memiliki sebuah telefon bimbit, manakala 11.6 peratus pengguna lain mempunyai dua telefon dan 1.2 peratus lagi memiliki lebih daripada dua telefon bimbit.

Kajian juga menunjukkan 41.1 peratus pemilik menggunakannya pada kadar bil tidak lebih RM50 sebulan, manakala 33.9 peratus mempunyai bil antara RM50 hingga RM100 sebulan,” katanya.

Bistamam berkata, kajian juga mendapati 74 peratus pemilik telefon bimbit menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS), manakala 31.7 peratus menghantar pada kadar purata lebih lima SMS sehari.

Beliau berkata, SKMM akan melakukan kajian sama tahun depan selain dua lagi kajian penggunaan internet di kalangan rakyat Malaysia.

Kita yakin hasil kajian dapat dimanfaatkan syarikat Telco atau industri telekomunikasi tempatan merancang atau membangunkan produk, katanya.

Dipetik dari Berita Harian Oleh Shamshul Azree Samshir

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Sumber petikan: Utusan Malaysia

MUNGKIN ramai daripada kita yang tidak pernah mendengar perkataan
Aifa, jenama telefon pertama keluaran tempatan.

Biarpun belum dikenali di negara ini, sebenarnya telefon
Aifa telah lama menapak di negara lain seperti Indonesia.

Sudah tentu sukar membandingkan telefon ini dengan jenama-jenama telefon terkenal seperti Nokia, Motorola dan sebagainya kerana syarikat-syarikat pengeluar itu telah lama memperkenalkan telefon masing-masing.

Kelebihan ketara telefon ini ialah ia mempunyai aplikasi waktu solat yang membolehkan pengguna sentiasa diingatkan dengan rakaman azan apabila masuk sesuatu waktu solat.

Walaupun mempunyai ciri-ciri yang disesuaikan dengan masyarakat Muslim ini, Aifa tidak mengabaikan ciri-ciri penting yang perlu dalam sesebuah telefon bimbit masa kini yang menjadikan ia sebagai telefon yang universal.

Ketua Pegawai Eksekutif Aifa Telecomunication Sdn. Bhd., Aisan Fadhli Ab. Halim berkata, telefon Aifa mempunyai beberapa spesifikasi penting seperti menyokong kegunaan tiga jalur (tri-band) GSM 900/1800/PCS 1900.

“Ciri ini penting bagi mereka yang sering mengembara ke luar negara yang membolehkan mereka mengaktifkan fungsi perayauan antarabangsa,” katanya.

Telefon Aifa yang beridentiti kebangsaan ini juga telah mendapat kelulusan sepenuhnya daripada SIRIM QAS yang membuktikan kualitinya.

Model sulung yang memasuki pasaran tempatan adalah AF88 Simfoni dilengkapi dengan fungsi GPRS 10, SMS (khidmat pesanan ringkas) dan MMS (khidmat pesanan multimedia).

“Fungsi GPRS akan membolehkan pengguna mengakses Internet dengan lebar jalur yang lebih luas dan cepat untuk mendapatkan imej, data dan suara,” tambahnya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Model AF88, menurut Aisan juga mempunyai fungsi WAP 1.2.1 dan 14.4 KBit/s yang membolehkan pengguna dapat menggunakan pelbagai aplikasi GPRS seperti melihat trafik, menghantar/menerima gambar MMS dan sebagainya.

Telefon yang mempunyai dua skrin iaitu skrin biasa di dalam dengan resolusi warna 65,000 dan skrin luaran (apabila ditutup) warna 4,000.

Untuk skrin luaran, selain daripada boleh melihat paparan nombor dan nama pemanggil, telefon ini juga mempunyai aplikasi jam analog yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa pengguna menambah keceriaan skrin.

“Beberapa perkara yang menarik dengan AF88 seperti penyimpanan SMS dalam memori sehingga 150 hingga 200 mampu membuat pengguna selesa menggunakannya,” kata Aisan lagi.

Begitu juga dengan memori penyimpanan nama boleh menampung sehingga 500 nama.

AF88 mempunyai folder peribadi yang bertujuan memastikan mesej diterima disimpan dalam satu folder rahsia yang hanya boleh dibuka menggunakan kata laluan.

Aisan berkata, telefon berkenaan telah diolah untuk menepati kehendak khususnya masyarakat Muslim dengan menambah azan secara rakaman penuh daripada Imam Masjidilharam bagi jam penggera.

AF88 juga dilengkapi dengan 40 bunyi polifonik dan hiasan skrin (wallpaper) bagi menepati cita rasa pengguna.

Memandangkan ia merupakan telefon keluaran tempatan, Aifa juga telah memasukkan sebanyak 20 lagu Melayu popular yang boleh dijadikan sebagai nada dering.

“Pengguna boleh terus memilih lagu-lagu yang sesuai tanpa perlu berbelanja lebih dan bersusah payah memuat turun lagu-lagu lain,” tambahnya.

Kuasa bateri untuk tempoh menunggu ialah sehingga 180 jam dan bercakap sehingga tiga jam.

Aifa Telecommunication Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat milik penuh bumiputera bergiat aktif dalam bidang telekomunikasi dan telah beroperasi sejak lima tahun lepas dengan mempunyai kilang pengeluaran di Klang, Selangor.

Bahagian jualan dan pemasaran
Aifa telah menyusun tindakan pemasaran melibatkan beberapa strategi termasuk memilih dan melantik pengedar yang berkelayakan dengan menawarkan margin keuntungan yang tinggi antara RM80 hingga RM100 untuk setiap model yang dijual.

Aifa meletakkan sasaran mempunyai 250 pengedar dan ia akan dipilih berdasarkan konsep satu daerah satu pengedar.

Pendaftaran pengedar dan juga maklumat lanjut mengenai telefon bimbit ini boleh dibuat secara terus dari portal aifa di
www.aifa.com.my.

Di samping pengedar, Aifa turut memfokuskan penjualan kepada organisasi dan koperasi terpilih dan berdaftar dengan konsep bayaran secara ansuran sebanyak RM69 sebulan.


Aifa juga telah menjadi antara syarikat bumiputera yang telah memanfaatkan teknologi Internet dengan memperkenalkan konsep penjualan telefon melalui laman webnya.

Apabila mengunjungi laman web
Aifa, pengguna bukan sahaja boleh membeli telefon AF88 tersebut secara terus, tetapi juga portal berkenaan membekalkan segala maklumat tentang AF88 termasuk brosur, buku manual, spesifikasi dan pilihan warna.

Mulai 1 hingga 7 Mac ini, sebanyak 200 unit telefon tersebut akan ditawarkan dengan harga promosi RM599 bagi pembelian di laman webnya.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.