RIYADH: Ulama Arab Saudi melarang laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran dijadikan sebagai nada dering telefon bimbit kerana ia dianggap menjejaskan kesucian Islam.

Sheikh Saleh Al-Shamrani berkata, perbuatan itu bersifat makruh apalagi jika deringan itu berlaku ketika pemiliknya berada dalam tandas atau pada premis hiburan seperti disko.

“Ayat suci al-Quran amat tinggi nilainya dan tidak tepat direndahkan tahapnya sebagai nada dering telefon bimbit. Paling rendah hukumnya adalah makruh,” katanya kepada akhbar Arab Al-Sharqul Awsat, kelmarin.

Beliau yang juga pensyarah Akademi Ilmiah Universiti Islam Raja Mohamed Saud, membuat ulasan itu berikutan semakin ramai umat Islam menjadikan laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran menggantikan irama muzik moden sebagai nada dering.

Sheikh Saleh berkata, larangan menggunakan ayat suci al-Quran dan azan dibuat atas ilat atau alasan ia sememangnya tidak boleh digunakan berdasarkan banyak sebab, termasuk tempat.

“Ia seperti deringan ketika pemilik berada di tempat kotor seperti tandas atau tempat tidak sesuai seperti disko atau majlis apabila ketika itu orang ramai sedang ketawa,” tegasnya.

Seorang lagi ulama, Suad Afif mahu satu garis panduan diwujudkan khusus mengenai penggunaan ayat suci al-Quran dan azan.

“Kita tidak mahu di tengah kegilaan ramai mendapatkan nada dering diminati, aspek kemurnian agama Islam itu pula tercemar. Kita juga tidak mahu keindahan dan kemurnian ayat suci dan azan itu diperlekeh baik secara sengaja atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata nada dering ayat suci al-Quran dan laungan azan, dari satu aspek mengingatkan umat Islam mengenai ibadat, seperti kewajipan menunaikan solat.

“Memanglah ia baik untuk umat Islam tetapi dari satu segi, jika nada dering itu didengar dalam tandas, tidak baik. Walaupun kita tidak nampak tulisan ayat al-Quran, ia tidak baik untuk didengar dalam tandas.

“Ayat suci al-Quran tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan najis. Walaupun nada dering, ia kalau didengar di tempat seperti itu merendahkan kesucian al-Quran,” katanya.

Beliau menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam memilih nada dering telefon bimbit bagi mengelakkan melakukan dosa.

Telefon bimbit (umum)

Ogos 24, 2006

Sejak dipasarkan secara komersial kira-kira 10 tahun lalu, telefon bimbit mengalami perkembangan pesat dengan lebih 15 juta pengguna di Malaysia pada 2004, berdasarkan kajian yang dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).Daripada jumlah itu 61.1 peratus pengguna telefon bimbit adalah lelaki, manakala 38.9 peratus adalah perempuan.

Dari situ wujudlah beraneka bentuk teknologi telefon bimbit bermula dari teknologi Sistem Global Komunikasi Mudah Alih (GSM), dilengkapi pula WAP / GPRS sehinggalah ada yang boleh memuat turun muzik, dihubungkan ke Internet serta merakamkan gambar secara pegun atau visual. Hebatkan!

Alexander Graham Bell berjaya mencipta telefon pada tahun 1876 sekali gus membolehkan masyarakat seluruh dunia berhubungan antara satu dengan lain walaupun berjauhan.

Walaupun, sejak kematiannya pada 1922, teknologi telekomunikasi masih mengalami perubahan mendadak dan berkembang begitu pesat sekali, inovasinya diperbaharui oleh generasi kemudian hingga membolehkan manusia di bumi berhubungan dengan manusia lain sekalipun berada di bulan tanpa bantuan kabel.

Di Malaysia sistem telekomunikasi tidak berwayar analog (ETACS) mula diperkenalkan pada 1989. Sejak diperkenalkan, Malaysia menjadi antara pengguna sistem mudah alih berasaskan ETACS terbesar dunia yang mana ruang liputannya melebihi 90 peratus kawasan pendudukan.

Telekom Malaysia (TM) memperkenalkan perkhidmatan telefon bergerak Atur 450 pada Mei 1985, telefon bimbit sudah menjalani evolusi yang begitu pantas, dari segi teknologi dan reka bentuknya.

Dua sistem digital yang pertama mula beroperasi pada 1992, iaitu GSM (Global System for Mobile Communications) di Eropah dan D-AMPS (Digital Advanced Mobile Phone Service) di Amerika Utara.

Sebanyak 9.5 bilion SMS dengan purata RM5 bilion dihantar pengguna telefon bimbit di Malaysia sepanjang 2004. 3.4 bilion pula direkod sehingga suku pertama tahun 2005.

sumber: Wikipedia