Mengekang salah guna telefon bimbit

September 3, 2006

Mengekang salah guna telekomunikasi
Oleh Rosliwaty Ramly
Petikan daripada Harian Metro

PADA Mac 2004, akhbar New York Times melaporkan pihak berkuasa keselamatan melalui operasi dinamakan ‘Mont Blanc’ menjejaki dan menahan anggota kumpulan al-Qaeda menggunakan perkhidmatan telefon bimbit prabayar di Switzerland.

Sebulan kemudian, insiden pengeboman di Madrid, Sepanyol, dikaitkan dengan sebuah paket yang dilaporkan mengandungi telefon bimbit prabayar yang diikat pada plastik bahan letupan dan disembunyikan dalam beg sukan.

April tahun lalu, tiga pengeboman serentak berlaku di Songkhla, Thailand dan ketiga-tiga bom itu dilaporkan diledakkan menggunakan telefon bimbit, mungkin dengan kad SIM prabayar.

Penemuan itu mengukuhkan laporan berita bahawa pengganas dipercayai menggunakan telefon bimbit prabayar untuk tujuan pengeboman itu.

Persoalannya, jika kita percaya kepada laporan itu, nampaknya telefon bimbit prabayar menggantikan fungsi telefon awam di sudut jalan sebagai kaedah pilihan untuk berkomunikasi bagi panggilan berbaur lucah, jenayah, atau ancaman pengganas antarabangsa.

Menyedari hakikat itulah, perkhidmatan telefon bimbit prabayar menarik perhatian penguat kuasa undang-undang dan pertubuhan keselamatan negara, sesetengahnya mahu melihat langkah kawalan diwujudkan bagi membendung anasir negatif yang menggunakan telefon bimbit prabayar tanpa menggunakan nama.

Justeru, beberapa negara yang memiliki sistem telefon bimbit prabayar seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Australia, Switzerland, Taiwan dan Thailand telah melaksanakan atau sedang melobi untuk mendapatkan keperluan pendaftaran bagi perkhidmatan itu.

Kementerian Dalam Negeri Singapura umpamanya, sebagai usaha berterusan dan semakan keselamatan yang holistik dan Lembaga Kemajuan Infocomm negara itu telah berganding bahu dengan pembekal perkhidmatan telefon bimbit mencari kaedah kawalan yang praktikal ke atas kad SIM prabayar.

Menurut laman webnya, www2.mha.gov.sg, sejak melaksanakan kawalan sedemikian pada November 2005, lebih daripada 530,000 kad SIM prabayar telah didaftarkan.

Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Dalam Negerinya, Wong Kan Seng, berkata, “Singapura wajar segera menyelesaikan masalah ini memandangkan terdapat hampir 1.4 juta kad SIM prabayar tempatan meliputi 35 peratus daripada pasaran telefon bimbit dalam edaran hari ini.

Beliau menyifatkan isu kad SIM prabayar sebagai kepentingan keselamatan yang membolehkan penjenayah mengeksploitasikan kad SIM prabayar untuk mengelak daripada dikesan.

Menteri Komunikasi dan Maklumat Indonesia turut mengeluarkan arahan pada 23 Oktober 2005, mewajibkan semua pengguna telefon bimbit prabayar mendaftarkan nombor mereka.

Pendaftaran itu berakhir pada 28 April lalu.

Malaysia juga tidak terkecuali. Berkuatkuasa 1 Januari 2006, semua pengguna telefon bimbit prabayar yang baru atau yang sedia ada dikehendaki mendaftar dengan pembekal perkhidmatan telefon bimbit prabayar masing-masing.

Menurut Adelina Iskandar, Ketua Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia, pengguna baru perlu mendaftarkan butiran mereka ketika membeli kad SIM manakala pengguna sedia ada perlu berbuat demikian sebelum 15 Disember 2006.

“Daftarlah sebagai menyokong arahan kerajaan untuk menjamin perkhidmatan telefon bimbit yang lebih baik dan mengatasi masalah keselamatan. Lakukanlah sebelum 15 Disember kerana kegagalan berbuat demikian menyebabkan talian anda ditamatkan,” katanya.

“Kami amat tegas mengenai perkara ini. Jadi, usah berlengah dan tunggu hingga ke saat-saat akhir,” kata Adelina.

Beliau berkata kerajaan telah menjalankan usaha pendaftaran di Pulau Pinang dan Melaka dari Oktober hingga Disember 2005, sebagai tirai pembukaan ke arah pendaftaran wajib ke seluruh negara.

Adelina berkata pasaran kad SIM prabayar tumbuh pesat dan seiring dengan pertumbuhan itu, sesetengah peniaga tidak mencatat butiran pengguna dengan betul.

Justeru, bagi memastikan butiran pengguna dicatat dengan betul, pengguna kad SIM prabayar dikehendaki mendaftar butiran peribadi mereka, katanya.

“Ini juga untuk mengawal pengguna sedia ada dan mengelak kad mereka daripada didaftar secara tidak betul,” katanya.

Adelina menjelaskan sehingga 15 Disember 2005, lebih 170,000 pengguna telefon bimbit prabayar di kedua-dua negeri itu telah mendaftar dengan pembekal perkhidmatan telefon bimbit masing-masing.

Beliau berkata sehingga akhir Mei 2006, daripada 20 juta pengguna telefon bimbit prabayar, hanya 3.4 juta telah mendaftar dan kadar yang rendah ini mungkin disebabkan kurangnya kesedaran pengguna.

“Ini adalah usaha industri dan industri telefon sedang mencari kaedah baru untuk menarik pendaftaran selain meningkatkan kempen kesedaram awam,” katanya.

Justeru itu, tiga syarikat telekomunikasi di Malaysia – Maxis , Celcom dan Digi yang saling bekerjasama menyahut seruan kerajaan sejak Januari lalu, sedang giat melakukan ‘roadshow’ secara agresif dan mewujudkan lebih banyak kaunter di komplek beli-belah seluruh negara.

Pengurus Perhubungan Korporat Maxis, Catherine Leong berkata industri ini sedang menjalankan kempen kesedaran secara proaktif untuk mendidik pengguna mengenai inisiatif mendaftar perkhidmatan telefon bimbit prabayar.

Iklan di akhbar dan pengumuman awam melalui radio serta stesen TV adalah antara usaha berterusan memupuk kesedaran umum, kata Catherine.

Naib Presiden Komunikasi Korporat Celcom, Norliza Kamaruddin berkata apa yang perlu dilakukan pengguna ialah membawa telefon bimbit dan bukti pengenalan diri ke mana-mana cawangan, pusat servis, pengedar dan ejen yang diiktiraf.

“Pendaftaran adalah percuma, mudah dan wajib. Daftar hari ini dan anda boleh terus berkomunikasi,” katanya sambil memberi jaminan semua butiran dirahsiakan.

Dalam pada itu, Adelina berkata beliau yakin ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu dapat mencapai sasaran memandangkan pengguna kini mempunyai satu pilihan baru dinamakan, MyKad, selain daripada pendaftaran secara manual.

Beliau berkata melalui kaedah ini, alat bacaan MyKad akan dibekalkan di wakil pembekal yang diiktiraf.

“Yang perlu dilakukan adalah kunjungi cawangan atau ejen yang diiktiraf dan serahkan Mykad anda. Petugas akan memasukkan MyKad ke dalam alat bacaan MyKad untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan dan memindahkannya ke pangkalan data syarikat telefon.

Pada peringkat awal, 1,000 peniaga seluruh negara dibekalkan alat bacaan MyKad dan selebihnya akan dibekalkan kemudian bergantung kepada permintaan dan bilangannya, kata Adelina.

Pendaftaran secara manual pula hanya memerlukan pengguna telefon bimbit prabayar mengunjungi pembekal, wakil pengedar atau ejen yang diiktiraf dengan membawa telefon bimbit mereka bersama kad pengenalan atau pasport sebagai pengesahan. Kemudian isi borang pendaftaran dan tanda tangan.

Mengenai prosedurnya pula, Tunku Alizakri RM Alias, Pengarah Perhubungan Korporat DiGi berkata hanya pelanggan prabayar berusia 12 tahun ke atas boleh mendaftar.

“Ibu bapa atau penjaga akan mendaftarkan untuk anak mereka yang berusia 12 tahun ke bawah dan pelanggan prabayar juga tidak boleh mendaftar untuk orang lain,” katanya. – Bernama

3 Respons kepada “Mengekang salah guna telefon bimbit”

  1. KHAIRUL Berkata:

    A/KUM

    TUAN,

    SAYA INGIN MENJADI PENGEDAR HP WILAYAH UTARA ( BUMIPUTERA) BAGAIMANA SAYA CIRI CIRI YANG DIPERLUKAN .

    JASA TUAN AMAT SAYA HARGAI
    SEKIAN TERIMA KASIH

  2. chat Berkata:

    TALIAN MAXIS SAYA TAMAT PADA 03.07.08.BAGAIMANA CARA UNTUK SAYA MENDAFTAR MELALUI oNLINE UNTUK PENDAFTARAN NOMBOR TALIAN SAYA.

  3. iman Berkata:

    a,skum erm sy nk tnye adakah kad sim sy didaftarkan n saya nk thu ddaftarkan atas nama siape?please mustahak nie..k


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: