Industri muzik rugi RM36 juta setahun
Disember 8, 2006
GEORGETOWN: Industri muzik kerugian kira-kira RM36 juta setahun akibat penjualan nada dering tanpa kebenaran, membabitkan 3,000 peniaga haram di seluruh negara.
Jumlah itu berdasarkan kepada 20 peratus daripada kira-kira 18 juta telefon bimbit yang didaftarkan di Malaysia membelanjakan RM10 setahun bagi membeli nada dering yang dijual secara haram.
Peniaga terbabit menjual nada dering RM3 bagi satu lagu atau RM10 untuk lima nada dering.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Tan Ngiap Foo, berkata pemerhatian pihaknya mendapati penjualan nada dering sangat ketara di kompleks beli belah dan pasar malam.
Katanya , di Pulau Pinang saja pihaknya mengesan lebih 100 penjual lagu dan nada dering haram.
“Kami berharap penjual alat telekomunikasi supaya patuh kepada amaran kerajaan yang melarang penjualan nada dering dan lagu tanpa kebenaran. Kami juga akan menyerahkan senarai nama peniaga itu kepada kerajaan,” katanya.