GEORGETOWN: Industri muzik kerugian kira-kira RM36 juta setahun akibat penjualan nada dering tanpa kebenaran, membabitkan 3,000 peniaga haram di seluruh negara.

Jumlah itu berdasarkan kepada 20 peratus daripada kira-kira 18 juta telefon bimbit yang didaftarkan di Malaysia membelanjakan RM10 setahun bagi membeli nada dering yang dijual secara haram.

Peniaga terbabit menjual nada dering RM3 bagi satu lagu atau RM10 untuk lima nada dering.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Tan Ngiap Foo, berkata pemerhatian pihaknya mendapati penjualan nada dering sangat ketara di kompleks beli belah dan pasar malam.

Katanya , di Pulau Pinang saja pihaknya mengesan lebih 100 penjual lagu dan nada dering haram.

“Kami berharap penjual alat telekomunikasi supaya patuh kepada amaran kerajaan yang melarang penjualan nada dering dan lagu tanpa kebenaran. Kami juga akan menyerahkan senarai nama peniaga itu kepada kerajaan,” katanya.

TINDAKAN Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan terhadap mereka yang menjual nada dering telefon jenis MP3 adalah satu tindakan yang dialu-alukan, khususnya oleh mereka yang berkecimpung dalam industri rakaman.

Ini kerana tindakan mereka menjual lagu-lagu dalam bentuk MP3 untuk digunakan sebagai nada dering adalah umpama mengaut keuntungan di atas angin.

Berbanding syarikat-syarikat telekomunikasi yang diberikan lesen untuk menjual nada dering MP3, premis-premis serta individu yang menjual nada dering MP3 secara haram tidak perlu membayar royalti untuk setiap lagu yang mereka gunakan. Dalam erti kata lain, keuntungan atas angin.

Pembayaran royalti kepada pemegang hak cipta adalah satu kemestian untuk semua individu atau syarikat yang menggunakan hasil rakaman orang lain untuk tujuan komersial.

Dalam konteks ini, penjual nada dering MP3 tiada bezanya dengan lanun cetak rompak yang menggunakan hasil usaha orang lain untuk keuntungan mudah.

Mungkin ramai yang tidak sedar akan kesan atau impak kegiatan sebegini. Tetapi hakikatnya, kegiatan sebegini sekiranya tidak dibendung boleh mengakibatkan kerugian yang boleh mencecah jutaan ringgit untuk industri rakaman negara.

Adalah tidak adil sekiranya hasil titik peluh orang lain disalahgunakan untuk mengaut keuntungan mudah.

Hasil rakaman adalah merupakan satu harta intelek yang seharusnya diberi pelindungan yang sewajarnya. Dan inilah yang sedang dilakukan oleh KPDNHEP.

Dalam itu, orang ramai juga perlu diberi pendidikan sewajarnya mengenai peranan yang perlu mereka main untuk sama-sama membantu dalam menangani masalah ini.

2 Respons kepada “Industri muzik rugi RM36 juta setahun”

  1. kirinz Berkata:

    hmm…susah nak kawal perkara sebegini …

    Lawatlah blog saya ulasan/review mengenai telefon bimbit nokia,sony ericsson, samsung,lg…

    —-
    kirinz
    http://www.phonesmodel.com

  2. Khairul Berkata:

    Mengapa pihak Industri Rakaman (Artis, komposer, penulis lirik dan sebagai) merasa tergugat dengan masalah ini? Semakin hari teknologi semakin berkembang. Masalah ini semakin lama semakin sukar untuk di bendung. Jadi alternatif lain perlu cari oleh pihak syarikat rakaman supaya masalah mereka ini dapat di atasi. Jangan mengharapkan penguatkuasa semata-mata.

    Sekarang dengan teknologi digital dan perhubungan. Sapa mahu beli harga sekeping palstik bulat yang berbelas ringgit, Walhal RM5 sekali pun (yg cetak rompak). sedangkan kita boleh dapat secara percuma melalui internet.


Tinggalkan jawapan