GEORGETOWN: Industri muzik kerugian kira-kira RM36 juta setahun akibat penjualan nada dering tanpa kebenaran, membabitkan 3,000 peniaga haram di seluruh negara.

Jumlah itu berdasarkan kepada 20 peratus daripada kira-kira 18 juta telefon bimbit yang didaftarkan di Malaysia membelanjakan RM10 setahun bagi membeli nada dering yang dijual secara haram.

Peniaga terbabit menjual nada dering RM3 bagi satu lagu atau RM10 untuk lima nada dering.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Tan Ngiap Foo, berkata pemerhatian pihaknya mendapati penjualan nada dering sangat ketara di kompleks beli belah dan pasar malam.

Katanya , di Pulau Pinang saja pihaknya mengesan lebih 100 penjual lagu dan nada dering haram.

“Kami berharap penjual alat telekomunikasi supaya patuh kepada amaran kerajaan yang melarang penjualan nada dering dan lagu tanpa kebenaran. Kami juga akan menyerahkan senarai nama peniaga itu kepada kerajaan,” katanya.

Baca keseluruhan entri ini »

LUCKNOW: Seorang ulama di sebuah kolej agama di India meminta orang ramai tidak menggunakan ayat al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit mereka dan berkata amalan itu tidak sesuai dengan Islam.
Ulama di kolej Dar-ul Uloom di utara bandar Deoband mengeluarkan fatwa mengharamkan petikan ayat al-Quran atau laungan azan dijadikan nada dering dan berkata, perbuatan itu menyalahi ajaran Islam.

“Ayat al-Quran bukan untuk tujuan hiburan. Sesiapa yang terus melakukannya patut disingkirkan daripada masyarakat,” kata pegawai kolej Mohammed Asumin Qazmi, yang dihubungi melalui telefon dari Saharanpur, sebuah bandar 450 kilometer ke timur laut Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.

Ulama terkenal di Lucknow, Mufti Badru-Hasan, berkata beliau menyokong larangan penggunaan nada dering seperti itu.

“Seseorang perlu mendengar ayat al-Quran dengan lengkap dan menghayati apa yang dibaca. Jika ia digunakan sebagai nada dering, pemilik biasanya akan menekan butang untuk menyahut panggilan menyebabkan ayat al-Quran itu terputus separuh jalan. Ini bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Nada dering dengan petikan ayat al-Quran atau laungan azan amat diminati pemilik telefon bimbit beragama Islam di Uttar Pradesh, negeri terbesar di India.

Kebanyakan penggunanya berusia antara 40an dan 50an, kata Mukesh Sinha, seorang eksekutif syarikat telefon bimbit.

Kebanyakan pemilik menganggap nada dering berunsur agama sebagai satu cara mengingatkan mereka kepada agama.

Seorang pengurus bank, Faiz Siddaqui menggunakan ayat al-Quran sebagai nada dering.

“Setiap kali ia berdering saya akan mendengar ayat yang menyuruh saya bekerja kuat dan jujur. Saya rasa dekat dengan agama,” katanya.

Ogos lalu, Ulama Arab Saudi melarang laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran dijadikan sebagai nada dering telefon bimbit kerana ia dianggap menjejaskan kesucian Islam.

Sheikh Saleh Al-Shamrani berkata, perbuatan itu bersifat makruh apalagi jika deringan itu berlaku ketika pemiliknya berada dalam tandas atau pada premis hiburan seperti disko.

“Ayat suci al-Quran amat tinggi nilainya dan tidak tepat direndahkan tahapnya sebagai nada dering telefon bimbit. Paling rendah hukumnya adalah makruh,” katanya kepada akhbar Arab Al-Sharqul Awsat. – AP

Oleh: RAJA LUVENA SHARIFUDDIN dan HELMI MOHD. FOAD (Utusan Malaysia, 9 Oktober 2006)

PUTRAJAYA 8 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat mengubah sikap dan mengiktiraf pencipta tempatan yang menghasilkan produk berteknologi tinggi, sekali gus membuang rasa sangsi terhadap keupayaan mereka.

Menurut Perdana Menteri, rakyat perlu memberi peluang dan galakan kepada anak- anak tempatan dengan cara membeli serta menggunakan produk ciptaan mereka yang setanding dengan produk import.

Sehubungan itu, beliau mahu institusi kerajaan, swasta dan rakyat mengutamakan produk berteknologi tinggi rekaan anak tempatan bagi membolehkan reka cipta tersebut berkembang maju dan lebih berkualiti.

Abdullah berpendapat, rakyat Malaysia agak sangsi untuk menggunakan produk tempatan tetapi akan menggunakan barangan import tanpa ragu-ragu terhadap kualitinya.

“Kita bersikap pemaaf apabila barangan import yang kita beli ada kecacatan tetapi kurang memaafkan apabila melibatkan barangan buatan tempatan.

“Mari kita ubah sikap kita dan bersedia untuk mengiktiraf keupayaan pencipta kita sendiri dan produk mereka,” katanya ketika berucap melancarkan IRIS Oxy-Hydrogen Mobile Incinerator, di sini hari ini.

Insinerator bergerak mesra alam yang dijanakan oleh gas oksigen dan hidrogen itu dibangunkan oleh syarikat tempatan, IRIS Corporation Bhd. dan merupakan teknologi pertama seumpamanya di Malaysia.

Insinerator itu merupakan insinerator generasi baru yang boleh melakukan pembakaran bebas toksik terhadap sisa pepejal dan cecair domestik.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi IRIS Corporation Bhd., Tan Sri Razali Ismail dan Pengarah Urusannya, Datuk Tan Say Jim.

Pada majlis tersebut, Abdullah turut menyaksikan upacara menandatangani perjanjian pembelian antara IRIS Corporation dan PTJ Technology Co. Ltd. of Thailand yang telah memesan satu unit insinerator bergerak itu.

Menurut Perdana Menteri, rakyat perlu menukar sikap mereka yang lebih suka membeli teknologi tinggi yang direka oleh negara lain seperti Jepun dan Korea dan percaya tentang kebaikannya.

Beliau berkata, ini kerana peralatan berkenaan sebenarnya boleh dibekalkan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Bagaimanapun beliau sedar bahawa terdapat produk di negara ini yang masih belum mencapai tahap teknologi yang lebih tinggi berbanding produk luar negara.

“Kita belum sampai lagi (tahap itu) kerana ada alat canggih kita kurang sempurna. Tetapi apa yang boleh kita boleh buat dan yang penting bagi kita ialah institusi kerajaan dan swasta memberi ruang dan peluang untuk anak tempatan memperkenalkan teknologi mereka,” katanya.

Dengan cara itu, menurut Abdullah, syarikat tempatan akan menerima maklum balas daripada pengguna mengenai sebarang kekurangan dan kelemahan produk tersebut.

“Setelah itu, produk tersebut akan ditambah baik dan diperelokkan supaya nanti alat itu bertambah canggih dan lebih tinggi kapasitinya.

“R&D tidak dapat berkembang jika hasilnya tidak diberi pengiktirafan dan kerelaan untuk mencuba pakai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak memberi galakan kepada pembangunan kemajuan sains dan teknologi terutama berhubung kait dengan pelbagai produk peralatan dan jentera yang dapat digunakan oleh rakyat negara ini.

“Kalau kita tidak sedia membeli atau mencuba pakai, maka penyelidikan dan pembangunan (R&D) anak tempatan tidak dapat berkembang dan mereka akan rasa kecewa serta tidak ada keyakinan,” katanya.

Mengenai insinerator bergerak mesra alam yang dibangunkan oleh IRIS Corporation itu, Perdana Menteri melahirkan rasa gembira kerana produk berteknologi tinggi itu dihasilkan oleh anak tempatan.

Beliau juga yakin produk tersebut mempunyai potensi untuk berkembang maju.

“Apa yang menggembirakan, sebelum kita beli Thailand sudah beli dulu,” katanya.

Oleh Masni Ros Pakir Mohamad
Harian Metro

MELAKA: Polis masih menyiasat dakwaan 190 telefon bimbit milik peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ayer Keroh dekat sini, yang disimpan dalam sebuah bilik hilang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Ayub Yaakob, berkata telefon bimbit itu disimpan dalam sebuah bekas dalam sebuah bilik di pejabat berkenaan.

Katanya, kejadian disedari pengurusan kem kira-kira jam 7 pagi apabila mendapati bilik berkenaan terbuka.

Selepas diperiksa didapati 190 telefon bimbit yang disimpan dalam sebuah bekas di bilik itu lesap.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekas menyimpan telefon bimbit itu mempunyai kesan umpilan dan mereka yang melakukan kegiatan itu dipercayai memasuki kawasan berkenaan dengan memotong pagar.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kebiasaannya telefon bimbit peserta PLKN akan disimpan pengurusan dan hanya akan diberikan kepada mereka pada hujung minggu.

“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan berharap polis menjalankan siasatan rapi,” katanya.

Perkembangan teknologi telekomunikasi telefoni mudah alih wayarles meluncur begitu cepat sehingga hampir tidak terkejar oleh kebanyakan pengguna biasa, yang lazimnya hanya mahukan suatu peranti untuk berhubung dengan orang lain dengan cepat.

Telefon bimbit yang begitu versatil dan pelbagai fungsi itu kini semakin mengecil dan dipenuhi dengan begitu banyak fungsi-fungsi baru, seperti menjadi PDA mudah, menjaga kalendar anda dan banyak lagi fungsi lain yang pastinya meruntun tali hati pengguna sehingga sanggup mengeluarkan jumlah wang yang agak besar untuk memiliki telefon bimbit yang menambat mata mereka.

Di sebalik kecanggihan dan kefungsian amat berguna mod telekomunikasi tersebut, ia bukanlah suatu alat yang lasak dan tidak memerlukan perhatian dan penjagaan berterusan penggunanya. Seperti kebanyakan peranti yang bersifat elektronik, telefon bimbit mestilah dijaga dengan cermat.

Untuk itu, Nokia (M) Sdn Bhd menyarankan beberapa tip untuk mempastikan penjagaan telefon bimbit pengguna bagi membolehkan pemanjangan hayat medium telekomunikasi peribadi versatil itu.

Pertama: Kebanyakan telefon bimbit tidak tahan hentakan, tidak kalis air dan tidak kalis habuk, kecuali mungkin model Nokia 6250. Binaan litar elektronik di dalam semua telefon bimbit adalah amat halus, dan sebarang pendedahan kepada kerpasan, kelembapan dan cecair yang mengandungi mineral boleh menyebabkan hakisan ke atas litar-litar elektronik tersebut.

Kedua: Pengguna disarankan supaya mengelak daripada mengendalikan telefon bimbit dengan cara kasar, seperti menjatuh atau menghentaknya yang pastinya akan merosakkan papan litar dalaman.

Pendedahan kepada tempat berhabuk yang kronik boleh menyebabkan kotoran halus memenuhi ruang-ruang kecil pada permukaan telefon.

Ketiga: Pengguna dinasihatkan membersihkan telefon bimbit dengan mengelapnya menggunakan kain lembut yang telah dibasahkan sedikit dengan sabun dan air. Namun begitu penggunaan bahan kimia menghakis, pelarut pembersih atau serbuk atau larutan detergen kuat boleh merosakkan telefon bimbit.

Keempat: Kelasakan sesebuah telefon bimbit juga bergantung kepada ketahanan alat-alat elektronik dan bahan plastik tertentu. Suhu terlalu tinggi akan merosakkan komponen-komponen tersebut.

Begitu juga jika telefon diletakkan di tempat yang terlalu sejuk, seperti peti ais atau freezer, kerana apabila telefon itu digunakan semula pada suhu biasa, lembapan (condensation) akan terbentuk di dalam telefon yang pastinya akan merosakkan papan litar elektronik, dan merosakkan memori dan fungsi paparan.

Kelima: Penyelenggaraan bateri dan alat pengecas dengan baik juga amat penting ke arah menjamin prestasi optimum telefon bimbit pengguna. Kedua-dua komponen tersebut juga amat sensitif terhadap suhu sekeliling dan haba.

Jika bateri dicas terlalu lama, ia akan menjadi terlalu panas dan memendekkan hayat bateri, dan prestasinya akan menurun dan jangka standby dan komunikasi akan menjadi lebih singkat.

Nokia menyarankan para pengguna telefon bimbit jenama itu mendapatkan rujukan nasihat dan bantuan. Pengguna juga boleh mengunjungi laman Web Nokia Asia Pasifik di http://www.nokia-asia.com atau melawati laman Web Nokia di http://www. nokia.com.

Menjangkau 15 tahun GSM

September 17, 2006

Oleh Husain Jahit, Harian Metro

Pada 1 Julai lalu, genaplah 15 tahun usia Sistem Global Untuk Komunikasi Mudah Alih atau lebih dikenali sebagai GSM.

Ia adalah rangkaian telekomunikasi digital yang paling banyak digunakan di seluruh dunia meliputi lebih 80 peratus bahagian dunia ini daripada 670 rangkaian komersialnya di 200 negara dan jajahan.

Rangkaian GSM pertama yang dipasang 15 tahun dulu dibangunkan Ericsson, pembekal terkenal sistem rangkaian telekomunikasi. Pemasangan pertama itu dikendalikan Mannessmann, di Jerman.

Sejak itu, penggunaan rangkaian GSM berkembang begitu pesat membolehkan sebahagian besar penduduk di dunia ini berkomunikasi hanya menggunakan telefon bimbit.

Empat gelombang GSM digunakan iaitu 850MHz, 900Mhz, 1800Mhz dan 1900Mhz, namun dua gelombang paling terkenal dan digunakan di Malaysia iaitu 900 dan 1800MHz, manakala yang lainnya lebih terkenal di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea.

Rangkaian telekomunikasi digital yang jauh lebih baik berbanding rangkaian analog itu berkembang pantas hingga menerajui sistem mudah alih dunia hingga sekarang.

Ia mencatatkan kira-kira 387 juta pelanggan baru pada 2005 berbanding teknologi pesaing terdekatnya iaitu CDMA yang hanya mencatatkan pertumbuhan kira-kira 51 juta pelanggan.

Dianggarkan satu daripada tiga orang di dunia ini memiliki telefon bimbit GSM dan angka pelanggan GSM ke 2 bilion berjaya dicatatkan bulan lalu.

Daripada segi pengguna, belum ada teknologi komunikasi lain yang mendapat kesan signifikan seperti itu. GSM melepasi kadar pengguna telefon berwayar, komputer peribadi dan internet.

Di Malaysia, tiga penyedia utama sistem telekomunikasi tanpa wayar iaitu Maxis, DiGi dan Celcom menyediakan perkhidmatan telekomunikasi tanpa wayar di atas rangkaian GSM.

Jika anda masih ingat rangkaian GSM pertama diperkenalkan di Malaysia pada 1994 oleh Mobikom Sdn Bhd (Mobikom 018) yang beroperasi di atas platform rangkaian AMPS/D-AMPS (TDMA), sekali gus menjadi pengendali rangkaian telekomunikasi tanpa wayar digital pertama di Malaysia.

Pada 1995, Mutiara Telecommunications Sdn Bhd yang kini lebih dikenali sebagai DiGi Telecommunications menerusi gelombang pertama GSM 1800Mhz (DiGi 016).

Ia diikuti Cellular Communications Network (Malaysia) Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai Celcom menjadi pengendali pertama beroperasi menggunakan platform rangkaian gelombang GSM 900Mhz (Celcom 019).

Untuk merancakkan pasaran, Maxis Commnications pula melancarkan perkhidmatan telekomunikasi tanpa wayar Malaysia menerusi gelombang GSM 900Mhz (Maxis 012).

Pasaran telekomunikasi digital yang masih mentah itu dihangatkan lagi dengan Time Telekom yang menawarkan Adam 017 menggunakan gelombang GSM 1800Mhz dan MRCB menerusi Emartel 013 juga menggunakan gelombang GSM 1800Mhz.

Pada awalnya, gelombang GSM 1800MHz dikenali sebagai Rangkaian Komunikasi Personal (PCN). Tapi nama itu tidak digunakan lagi.

Dalam kerancakan dan perkembangan pesat dunia telekomunikasi hari ini, hanya tiga syarikat bersaing di negara kita iaitu Maxis, Celcom dan DiGi berikutan saranan kerajaan supaya penggabungan dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Akhirnya Mobikom diambil Telekom Malaysia, diikuti pengambilalihan Emartel dan Celcom. Ketiga-tiganya beroperasi di bawah satu jenama iaitu Celcom tapi mengekalkan nombor awalan iaitu 013 dan 019. Sementara Mobikom 018 tidak ditawarkan lagi.

Maxis pula mengambil alih Adam daripada Time Telekom dan hanya menggunakan jenama Maxis 012 dan 017. Dalam pada itu DiGi yang kini dikuasai sebahagian besarnya oleh syarikat telekomunikasi terbesar Norway, Telenor terus unggul tanpa sebarang penggabungan hingga ke hari ini.

Sehingga 2 Jun 2006, pelanggan rangkaian GSM di Malaysia ialah 21,670,900 orang dengan pecahan mengikut pengendali apabila Maxis menerajui pasaran dengan pelanggan seramai 8,617,600, diikuti Celcom dengan 7,583,800 orang pelanggan dan DiGi 5,469,500.

Menurut kelakuan pasaran di Malaysia, perkhidmatan prabayar lebih popular dan kadar langganannya jauh lebih besar berbanding pasca bayar. Mungkin ia lebih mudah dan menjimatkan kerana pelanggan membayar mengikut keperluan.

Pecahan mengikut syarikat, pada suku pertama 2006, pelanggan prabayar rangkaian GSM Maxis ialah 6.75 juta orang berbanding pasca bayar hanya 1.45 juta orang. DiGi pula memiliki pelanggan prabayar 4.7 juta orang berbanding 0.38 juta pasca bayar, sementara Celcom dengan 6.08 juta pelanggan prabayar dan 1.14 juta pasca bayar.

M DOT Mobile Sdn Bhd (M.Mobile), syarikat penyelidikan dan pembangunan (R&D) telefon mudah alih pertama tempatan, memperkenalkan telefon mudah alih terbaru – M10 Hajj, yang disasarkan kepada mereka yang menunaikan ibadat haji dan umrah.

M10 Hajj dilengkapi pelbagai ciri menarik untuk kemudahan golongan sasar terbabit, termasuk maklumat berhubung ibadat haji, umrah, penunjuk arah kiblat dan waktu sembahyang.

Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif M.Mobile, Norhamzah Nordin, berkata kemudahan disediakan menerusi model baru M10 Hajj hasil kerjasama dengan TH Technologies Sdn Bhd (TH Technologies), anak syarikat Lembaga Tabung Haji.

Katanya, menerusi kerjasama itu, M.Mobile membangunkan set telefon mudah alih, manakala TH Technologies menyediakan kandungan maklumatnya.

Beliau berkata, syarikat memperuntukkan RM150,000 bagi tujuan membangunkan kandungan produk model baru M10 Hajj itu.

“Kami mensasarkan untuk menjual 3,000 unit M10 Hajj sehingga akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran M10 Hajj di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Datuk Zainol Mahmood. Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Eksekutif Tabung Haji Ismee Ismail dan Pengerusi TH Technologies, Datuk Othman Jusoh.

Norhamzah berkata, M.Mobile turut memperuntukkan RM50 juta tahun ini untuk membangunkan lebih banyak produk telefon mudah alih buatan Malaysia, selepas kejayaan melancarkan dua model pertama iaitu M10 dan M10 Hajj.

Katanya, sejak pelancaran model pertama M.Mobile (M10) pada Februari lalu, syarikat sehingga kini sudah menjual 60,000 unit model itu.

“Tempoh enam bulan selepas pelancaran model pertama itu, kami lebih menumpukan kepada usaha mengumpul maklumat dan maklum balas bagi memastikan sebarang masalah yang timbul, dapat ditangani untuk model yang akan datang,” katanya.

Norhamzah berkata, sehingga akhir tahun ini, empat lagi model baru akan diperkenalkan, sebagai tambahan kepada dua model sedia ada.

Katanya, syarikat turut mensasarkan untuk memperkenalkan model baru yang dilengkapi ciri teknologi terkini seperti generasi ketiga (3G) dan telefon peranti telapak (PDA) menjelang penghujung 2007.

MAXIS Communications Bhd (Maxis) dijangka menyumbang RM8 juta bagi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) khususnya untuk program Cyberkids tahun ini, lebih tinggi berbanding RM6 juta yang diperuntukkan tahun lalu.

Pada 2004, Maxis menyumbang RM10.5 juta untuk program CSR, meletakkan syarikat itu sebagai korporat terbesar yang memberi sumbangan untuk tujuan pelajaran, kemanusiaan, sukan, hiburan dan pelbagai kerja kebajikan lain.

Cyberkids program utama dalam usaha Maxis merapatkan jurang digital dan melebarkan penggunaan komputer serta internet di kalangan murid sekolah rendah luar bandar dan guru di sekolah seluruh negara.

Dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, Maxis berkata, Cyberkids kem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang diadakan tujuh hari di tempat terpilih seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk murid sekolah rendah luar bandar dan guru.

Kem Cyberkids mula diperkenalkan pada 2004 untuk memberi pengalaman bermanfaat kepada peserta khususnya guru dan murid terhadap pengetahuan teknologi maklumat (IT), selaras dengan matlamat untuk mewujudkan seberapa ramai masyarakat di Malaysia yang celik komputer demi memberi keberkesanan maksimum.

Ia dilaksanakan berpandukan konsep ‘melatih pelatih’ bagi membolehkan guru dan murid menggunakan komputer dan internet secara berkesan.

Selepas mendapat ilmu menerusi pembelajaran dan latihan sepanjang kem Cyberkids, mereka akan pulang berbekalkan ilmu baru dan seterusnya menjadi guru di sekolah masing-masing dengan mengajar rakan mereka yang lain.

“Kem Cyberkids dirangka dengan menggabungkan pelajaran di kelas serta kegiatan luar dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK).

“Maxis turut menganjurkan CyberlinQ iaitu projek berasaskan pertandingan yang memberi peluang pelajar membina sebuah masyarakat yang lebih baik dengan membolehkan mereka memberi cadangan, melaksana program dan kegiatan berasaskan masyarakat,” katanya.

Sehingga kini, Maxis berdampingan dengan 25,000 kanak-kanak yang terbabit dalam Makmal Siber Maxis (Maxis Cyberlabs) yang diwujudkan di seluruh negara, untuk memajukan masyarakat tempatan dengan ilmu ICT.

Kini, ada tujuh makmal IT di pelbagai bandar dan kampung yang menyediakan orang ramai dengan akses ICT percuma, di Kuala Pilah, Dungun, Kepala Batas, Tanah Merah, Serian, Keningau dan Pekan.

Mengekang salah guna telekomunikasi
Oleh Rosliwaty Ramly
Petikan daripada Harian Metro

PADA Mac 2004, akhbar New York Times melaporkan pihak berkuasa keselamatan melalui operasi dinamakan ‘Mont Blanc’ menjejaki dan menahan anggota kumpulan al-Qaeda menggunakan perkhidmatan telefon bimbit prabayar di Switzerland.

Sebulan kemudian, insiden pengeboman di Madrid, Sepanyol, dikaitkan dengan sebuah paket yang dilaporkan mengandungi telefon bimbit prabayar yang diikat pada plastik bahan letupan dan disembunyikan dalam beg sukan.

April tahun lalu, tiga pengeboman serentak berlaku di Songkhla, Thailand dan ketiga-tiga bom itu dilaporkan diledakkan menggunakan telefon bimbit, mungkin dengan kad SIM prabayar.

Penemuan itu mengukuhkan laporan berita bahawa pengganas dipercayai menggunakan telefon bimbit prabayar untuk tujuan pengeboman itu.

Persoalannya, jika kita percaya kepada laporan itu, nampaknya telefon bimbit prabayar menggantikan fungsi telefon awam di sudut jalan sebagai kaedah pilihan untuk berkomunikasi bagi panggilan berbaur lucah, jenayah, atau ancaman pengganas antarabangsa.

Menyedari hakikat itulah, perkhidmatan telefon bimbit prabayar menarik perhatian penguat kuasa undang-undang dan pertubuhan keselamatan negara, sesetengahnya mahu melihat langkah kawalan diwujudkan bagi membendung anasir negatif yang menggunakan telefon bimbit prabayar tanpa menggunakan nama.

Justeru, beberapa negara yang memiliki sistem telefon bimbit prabayar seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Australia, Switzerland, Taiwan dan Thailand telah melaksanakan atau sedang melobi untuk mendapatkan keperluan pendaftaran bagi perkhidmatan itu.

Kementerian Dalam Negeri Singapura umpamanya, sebagai usaha berterusan dan semakan keselamatan yang holistik dan Lembaga Kemajuan Infocomm negara itu telah berganding bahu dengan pembekal perkhidmatan telefon bimbit mencari kaedah kawalan yang praktikal ke atas kad SIM prabayar.

Menurut laman webnya, www2.mha.gov.sg, sejak melaksanakan kawalan sedemikian pada November 2005, lebih daripada 530,000 kad SIM prabayar telah didaftarkan.

Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Dalam Negerinya, Wong Kan Seng, berkata, “Singapura wajar segera menyelesaikan masalah ini memandangkan terdapat hampir 1.4 juta kad SIM prabayar tempatan meliputi 35 peratus daripada pasaran telefon bimbit dalam edaran hari ini.

Beliau menyifatkan isu kad SIM prabayar sebagai kepentingan keselamatan yang membolehkan penjenayah mengeksploitasikan kad SIM prabayar untuk mengelak daripada dikesan.

Menteri Komunikasi dan Maklumat Indonesia turut mengeluarkan arahan pada 23 Oktober 2005, mewajibkan semua pengguna telefon bimbit prabayar mendaftarkan nombor mereka.

Pendaftaran itu berakhir pada 28 April lalu.

Malaysia juga tidak terkecuali. Berkuatkuasa 1 Januari 2006, semua pengguna telefon bimbit prabayar yang baru atau yang sedia ada dikehendaki mendaftar dengan pembekal perkhidmatan telefon bimbit prabayar masing-masing.

Menurut Adelina Iskandar, Ketua Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia, pengguna baru perlu mendaftarkan butiran mereka ketika membeli kad SIM manakala pengguna sedia ada perlu berbuat demikian sebelum 15 Disember 2006.

“Daftarlah sebagai menyokong arahan kerajaan untuk menjamin perkhidmatan telefon bimbit yang lebih baik dan mengatasi masalah keselamatan. Lakukanlah sebelum 15 Disember kerana kegagalan berbuat demikian menyebabkan talian anda ditamatkan,” katanya.

“Kami amat tegas mengenai perkara ini. Jadi, usah berlengah dan tunggu hingga ke saat-saat akhir,” kata Adelina.

Beliau berkata kerajaan telah menjalankan usaha pendaftaran di Pulau Pinang dan Melaka dari Oktober hingga Disember 2005, sebagai tirai pembukaan ke arah pendaftaran wajib ke seluruh negara.

Adelina berkata pasaran kad SIM prabayar tumbuh pesat dan seiring dengan pertumbuhan itu, sesetengah peniaga tidak mencatat butiran pengguna dengan betul.

Justeru, bagi memastikan butiran pengguna dicatat dengan betul, pengguna kad SIM prabayar dikehendaki mendaftar butiran peribadi mereka, katanya.

“Ini juga untuk mengawal pengguna sedia ada dan mengelak kad mereka daripada didaftar secara tidak betul,” katanya.

Adelina menjelaskan sehingga 15 Disember 2005, lebih 170,000 pengguna telefon bimbit prabayar di kedua-dua negeri itu telah mendaftar dengan pembekal perkhidmatan telefon bimbit masing-masing.

Beliau berkata sehingga akhir Mei 2006, daripada 20 juta pengguna telefon bimbit prabayar, hanya 3.4 juta telah mendaftar dan kadar yang rendah ini mungkin disebabkan kurangnya kesedaran pengguna.

“Ini adalah usaha industri dan industri telefon sedang mencari kaedah baru untuk menarik pendaftaran selain meningkatkan kempen kesedaram awam,” katanya.

Justeru itu, tiga syarikat telekomunikasi di Malaysia – Maxis , Celcom dan Digi yang saling bekerjasama menyahut seruan kerajaan sejak Januari lalu, sedang giat melakukan ‘roadshow’ secara agresif dan mewujudkan lebih banyak kaunter di komplek beli-belah seluruh negara.

Pengurus Perhubungan Korporat Maxis, Catherine Leong berkata industri ini sedang menjalankan kempen kesedaran secara proaktif untuk mendidik pengguna mengenai inisiatif mendaftar perkhidmatan telefon bimbit prabayar.

Iklan di akhbar dan pengumuman awam melalui radio serta stesen TV adalah antara usaha berterusan memupuk kesedaran umum, kata Catherine.

Naib Presiden Komunikasi Korporat Celcom, Norliza Kamaruddin berkata apa yang perlu dilakukan pengguna ialah membawa telefon bimbit dan bukti pengenalan diri ke mana-mana cawangan, pusat servis, pengedar dan ejen yang diiktiraf.

“Pendaftaran adalah percuma, mudah dan wajib. Daftar hari ini dan anda boleh terus berkomunikasi,” katanya sambil memberi jaminan semua butiran dirahsiakan.

Dalam pada itu, Adelina berkata beliau yakin ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu dapat mencapai sasaran memandangkan pengguna kini mempunyai satu pilihan baru dinamakan, MyKad, selain daripada pendaftaran secara manual.

Beliau berkata melalui kaedah ini, alat bacaan MyKad akan dibekalkan di wakil pembekal yang diiktiraf.

“Yang perlu dilakukan adalah kunjungi cawangan atau ejen yang diiktiraf dan serahkan Mykad anda. Petugas akan memasukkan MyKad ke dalam alat bacaan MyKad untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan dan memindahkannya ke pangkalan data syarikat telefon.

Pada peringkat awal, 1,000 peniaga seluruh negara dibekalkan alat bacaan MyKad dan selebihnya akan dibekalkan kemudian bergantung kepada permintaan dan bilangannya, kata Adelina.

Pendaftaran secara manual pula hanya memerlukan pengguna telefon bimbit prabayar mengunjungi pembekal, wakil pengedar atau ejen yang diiktiraf dengan membawa telefon bimbit mereka bersama kad pengenalan atau pasport sebagai pengesahan. Kemudian isi borang pendaftaran dan tanda tangan.

Mengenai prosedurnya pula, Tunku Alizakri RM Alias, Pengarah Perhubungan Korporat DiGi berkata hanya pelanggan prabayar berusia 12 tahun ke atas boleh mendaftar.

“Ibu bapa atau penjaga akan mendaftarkan untuk anak mereka yang berusia 12 tahun ke bawah dan pelanggan prabayar juga tidak boleh mendaftar untuk orang lain,” katanya. – Bernama

RIYADH: Ulama Arab Saudi melarang laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran dijadikan sebagai nada dering telefon bimbit kerana ia dianggap menjejaskan kesucian Islam.

Sheikh Saleh Al-Shamrani berkata, perbuatan itu bersifat makruh apalagi jika deringan itu berlaku ketika pemiliknya berada dalam tandas atau pada premis hiburan seperti disko.

“Ayat suci al-Quran amat tinggi nilainya dan tidak tepat direndahkan tahapnya sebagai nada dering telefon bimbit. Paling rendah hukumnya adalah makruh,” katanya kepada akhbar Arab Al-Sharqul Awsat, kelmarin.

Beliau yang juga pensyarah Akademi Ilmiah Universiti Islam Raja Mohamed Saud, membuat ulasan itu berikutan semakin ramai umat Islam menjadikan laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran menggantikan irama muzik moden sebagai nada dering.

Sheikh Saleh berkata, larangan menggunakan ayat suci al-Quran dan azan dibuat atas ilat atau alasan ia sememangnya tidak boleh digunakan berdasarkan banyak sebab, termasuk tempat.

“Ia seperti deringan ketika pemilik berada di tempat kotor seperti tandas atau tempat tidak sesuai seperti disko atau majlis apabila ketika itu orang ramai sedang ketawa,” tegasnya.

Seorang lagi ulama, Suad Afif mahu satu garis panduan diwujudkan khusus mengenai penggunaan ayat suci al-Quran dan azan.

“Kita tidak mahu di tengah kegilaan ramai mendapatkan nada dering diminati, aspek kemurnian agama Islam itu pula tercemar. Kita juga tidak mahu keindahan dan kemurnian ayat suci dan azan itu diperlekeh baik secara sengaja atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata nada dering ayat suci al-Quran dan laungan azan, dari satu aspek mengingatkan umat Islam mengenai ibadat, seperti kewajipan menunaikan solat.

“Memanglah ia baik untuk umat Islam tetapi dari satu segi, jika nada dering itu didengar dalam tandas, tidak baik. Walaupun kita tidak nampak tulisan ayat al-Quran, ia tidak baik untuk didengar dalam tandas.

“Ayat suci al-Quran tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan najis. Walaupun nada dering, ia kalau didengar di tempat seperti itu merendahkan kesucian al-Quran,” katanya.

Beliau menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam memilih nada dering telefon bimbit bagi mengelakkan melakukan dosa.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.