Telefon bimbit (umum)
Ogos 24, 2006
Sejak dipasarkan secara komersial kira-kira 10 tahun lalu, telefon bimbit mengalami perkembangan pesat dengan lebih 15 juta pengguna di Malaysia pada 2004, berdasarkan kajian yang dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).Daripada jumlah itu 61.1 peratus pengguna telefon bimbit adalah lelaki, manakala 38.9 peratus adalah perempuan.
Dari situ wujudlah beraneka bentuk teknologi telefon bimbit bermula dari teknologi Sistem Global Komunikasi Mudah Alih (GSM), dilengkapi pula WAP / GPRS sehinggalah ada yang boleh memuat turun muzik, dihubungkan ke Internet serta merakamkan gambar secara pegun atau visual. Hebatkan!
Alexander Graham Bell berjaya mencipta telefon pada tahun 1876 sekali gus membolehkan masyarakat seluruh dunia berhubungan antara satu dengan lain walaupun berjauhan.
Walaupun, sejak kematiannya pada 1922, teknologi telekomunikasi masih mengalami perubahan mendadak dan berkembang begitu pesat sekali, inovasinya diperbaharui oleh generasi kemudian hingga membolehkan manusia di bumi berhubungan dengan manusia lain sekalipun berada di bulan tanpa bantuan kabel.
Di Malaysia sistem telekomunikasi tidak berwayar analog (ETACS) mula diperkenalkan pada 1989. Sejak diperkenalkan, Malaysia menjadi antara pengguna sistem mudah alih berasaskan ETACS terbesar dunia yang mana ruang liputannya melebihi 90 peratus kawasan pendudukan.
Telekom Malaysia (TM) memperkenalkan perkhidmatan telefon bergerak Atur 450 pada Mei 1985, telefon bimbit sudah menjalani evolusi yang begitu pantas, dari segi teknologi dan reka bentuknya.
Dua sistem digital yang pertama mula beroperasi pada 1992, iaitu GSM (Global System for Mobile Communications) di Eropah dan D-AMPS (Digital Advanced Mobile Phone Service) di Amerika Utara.
Sebanyak 9.5 bilion SMS dengan purata RM5 bilion dihantar pengguna telefon bimbit di Malaysia sepanjang 2004. 3.4 bilion pula direkod sehingga suku pertama tahun 2005.
sumber: Wikipedia
Sistem NFC tawarkan transaksi guna telefon bimbit
Jun 20, 2006
Petikan: Utusan Archive
KINI pengguna tidak perlu lagi bersusah payah membawa beg tangan, wang tunai mahupun kad kredit semasa membeli-belah, memuat turun lagu dan filem dari kedai DVD atau membuka dompet waktu membeli tiket konsert.
Cukup hanya dengan membawa telefon mudah alih, anda sudah boleh melakukan transaksi pembayaran di mana-mana saja premis yang mempunyai kemudahan itu.
Semua ini bakal menjadi kenyataan apabila Royal Philips Electronics dan Visa International mengumumkan hasil kajian penggunaan Near Field Communication (NFC) dan teknologi pembayaran mudah yang membolehkan pelanggan melakukan transaksi hanya dengan menggunakan telefon mudah alih.
Naib Presiden dan Pengurus Besar Identifikasi Philips Semiconductor, Chistopher Duverne berkata, NFC memberikan kemudahan yang selamat, komunikasi mudah dan ringkas antara peralatan elektronik seperti telefon mudah alih, PDA, komputer dan terminal pembayaran melalui perhubungan tanpa wayar.
Bergabung dengan teknologi pembayaran tanpa hubungan, NFC membolehkan pembelian yang selamat dan mudah menggunakan peralatan mudah alih.
“Menggunakan NFC telefon mudah alih, peserta dalam kajian boleh melakukan transaksi dalam pelbagai senario seperti berbelanja di kedai kopi, memuat turun movie trailer di kedai DVD, membeli-belah melalui televisyen di rumah dan membeli tiket konsert hanya dengan melihat poster,” tambah beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Las Vegas, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Philips dan Visa menjalankan kajian berkenaan pada Disember 2005 di Georgia, Atlanta, Amerika Syarikat.
Kajian berkenaan merupakan sebahagian usaha syarikat itu membangunkan program yang memberi kemudahan yang selamat kepada transaksi mudah alih.
Tujuan penyelidikan adalah untuk mendapatkan maklumat mendalam mengenai kemudahan dan mengkaji tingkah laku pelanggan apabila menggunakan teknologi berkenaan.
Pemindahan
Duverne berkata, peserta dalam kajian berkenaan menerima dan menghargai konsep berkaitan pemindahan dan fungsi pembayaran melalui telefon mudah alih.
Pembelian runcit menggunakan telefon mudah alih mudah diterima kerana Philips NFC Technology dan pembayaran Visa mudah difahami, senang dan pantas.
Pengguna boleh memuat turun kandungan poster pintar NFC dan membeli tiket melalui poster menggunakan teknologi yang hebat dan menarik.
Naib Presiden Eksekutif Platform Produk Pengguna, Visa International, Gaylon Howe berkata, pembayaran mudah alih senang digunakan.
“Peserta mendapati mudah membuat pembayaran menggunakan telefon mudah alih berbanding dengan kad kredit,” katanya.
Kajian yang dijalankan berjaya mendapatkan beberapa hasil. Antaranya kemudahan pembayaran NFC membolehkan pengguna meninggalkan duit dan kad kredit di rumah.
Peserta yang menggunakan NFC mahukan transaksi automatik. Misalnya apabila menggunakan telefon untuk membuat pembelian atau memuat turun maklumat, transaksi haruslah bersifat automatik.
Mereka juga mahukan transaksi ringkas dengan hanya memegang telefon mudah alih kepada pembaca NFC.
Bagaimanapun, untuk menghantar aplikasi seperti menjual tiket kepada kawan, pengguna lebih gemar menggunakan arahan semasa transaksi.
Pengguna biasanya mencari tempat transaksi NFC boleh dilakukan. Mereka tidak mahu merayau-rayau mencari arahnya.
NFC boleh digunakan bagi mendapatkan akses dan memudahkan pembayaran bagi hiburan, maklumat dan perkhidmatan semasa bergerak.
Telefon bimbit penyelamat daripada harimau
Mei 7, 2006
Oleh: JAMDI NASIR
Utusan Malaysia 26 Mei 2001
HULU TERENGGANU 25 Mei – Telefon bimbit yang dibawa ke kebun menyelamatkan seorang pemuda daripada menjadi mangsa serangan seekor harimau di kawasan pertanian kelompok Bukit Binjai, Kampung Tok Dor, di sini hari ini.
Dalam keadaan mencemaskan, pemuda terbabit, Mohd. Fauzi Ismail, 18, dapat menghubungi bapanya menggunakan telefon tersebut bagi meminta bantuan.
Pada waktu itu dia bersembunyi di atas tebing bukit.
Harimau tersebut yang pada mulanya mengejar mangsa hanya menunggu di kawasan bawah tebing, sambil cuba memanjat tebing berkenaan.
Ketika menceritakan detik cemas itu Mohd. Fauzi berkata, ia berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika dia sedang berjalan kaki ke kebun nanas bapanya.
“Saya terserempak dengan harimau itu dalam jarak kira-kira 20 meter dan terus lari memanjat tebing bukit setinggi kira-kira lima meter.
“Selepas itu saya terus bersembunyi dalam semak di situ tetapi harimau itu masih berlegar-legar seolah-olah mahu naik ke atas tebing dan sesekali ia mencakar tanah,” katanya.
Menurutnya, selepas 15 minit melihat harimau itu terus berusaha mengesannya, dia lantas menghubungi bapanya menggunakan telefon milik abangnya yang kebetulan dibawa bersama.
Mohd. Fauzi berkata, bapanya yang berada di satu lagi kebun yang mereka usahakan kira-kira 200 meter dari situ kemudian bergegas ke tempat kejadian dan melepaskan satu das tembakan ke udara sebaik sahaja melihat harimau berkenaan.
Bapanya, Ismail Mohamad, 47, pula berkata, apabila mendengar tembakan, harimau tersebut yang berada kira-kira 50 meter berpaling memandang ke arahnya.
“Tetapi harimau setinggi kira-kira satu meter dan panjang kira-kira dua meter itu masih tidak lari sebaliknya terus berlegar-legar seolah-olah mahu naik ke atas tebing.
“Selepas melepaskan tembakan kali kedua barulah harimau itu melarikan diri ke bawah bukit,” katanya yang mengusahakan kebun di kawasan itu sejak tiga tahun lalu.
Katanya, beliau tidak mahu terus menembak harimau tersebut kerana bimbang menyalahi undang-undang hidupan liar tetapi tetap bersedia berbuat demikian jika ia bertindak ganas.
Ismail memberitahu, sebanyak tujuh keluarga mengusahakan tanaman kelompok di kawasan berkenaan dan hanya seorang yang pernah terserempak dengan harimau lama dahulu.
Sementara itu Mohd. Fauzi berkata, dia tidak akan serik untuk terus membantu keluarga di kawasan itu meskipun berhadapan pengalaman menakutkan itu.
Telefon bimbit biak tumor otak
Mac 29, 2006
Sumber: Berita Harian: 16/10/2004
STOCKHOLM: Mereka yang menggunakan telefon bimbit sekurang-kurangnya sejak 10 tahun lalu mungkin mengalami risiko mendapati ketumbuhan otak yang unik, lapor satu kajian yang disiarkan oleh jurnal antarabangsa, Epidemiology.
Satu pasukan penyelidik di Institut Perubatan Alam Sekitar di Institut Karolinska di Stockholm, Sweden, mendapati penyakit ketumbuhan (tumor) itu yang dikenali sebagai akoustik neuroma, barah pada sebelah kepala di mana telefon bimbit selalu diletakkan, meningkat empat kali ganda sekarang.
Kerja-kerja penyelidikan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada agenda penyelidikan penggunaan telefon bimbit oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia, dan pakar bidang terbabit berkata, kajian itu mesti dilihat secara serius kerana ia mungkin mencetus kebimbangan di kalangan pengguna mengenai risiko dihadapi dalam menggunakan telefon terbabit.
“Penyelidik Karolinska dihormati di seluruh dunia dan kajian ini akan memaksa pelbagai agensi kesihatan melihat semula kepada risiko penggunaan telefon bimbit,” kata Louis Slesin, penerbit Microwave News, yang memberi perlindungan kepada pengguna sejak telefon itu mula diperkenalkan.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya satu kajian yang dilakukan ke atas industri telefon bimbit pernah mencetus kebimbangan mengenai kemungkinan wujud kaitan antara telefon terbabit dan tumor otak.
Bagaimanapun, pegawai industri telefon bimbit berkata penyelidik Sweden itu hanya melakukan satu kajian dan tidak ada kesimpulan yang boleh dibuat dari hasil kajian berkenaan.
Kajian berkenaan yang membabitkan 150 pesakit akoustik neuroma dan 600 pengguna telefon yang sihat, adalah satu daripada sekurang-kurangnya enam kajian yang menunjukkan kemungkinan terdapat hubungan antara pengunaan telefon bimbit dan penyakit akoustik neuroma.
Kebanyakan kajian bagaimanapun tidak mempunyai ramai pengguna telefon bimbit jangka panjang, seperti yang dilakukan oleh penyelidik Karolinska.
Akoustik neuroma adalah tumor yang tidak bersifat barah, berlaku atas saraf yang mempunyai hubungan dengan otak dan bahagian dalam telinga. Simptom awal paling biasa ialah kehilangan pendengaran tapi apabila tumor itu semakin membesar, ia akan menolak ke arah tisu otak dan boleh membawa maut sekira tidak diberi rawatan segera.
Bagaimanapun, tumor ini jarang berlaku dan setakat ini hanya dialami seorang daripada 10,000 manusia. – Agensi
Separuh rakyat Malaysia miliki telefon bimbit
Mac 5, 2006
CYBERJAYA: Hampir separuh daripada 25.3 juta rakyat Malaysia memiliki telefon bimbit dengan 30 peratus daripadanya berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.
Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapati Selangor, termasuk Putrajaya adalah negeri paling ramai pengguna telefon bimbit iaitu 24.8 peratus, diikuti Johor 13.2 peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 9.5 peratus.
Kajian juga mendapati remaja dan kanak-kanak menjadi kumpulan pemilik telefon bimbit kedua terbesar iaitu 12.3 peratus.
SKMM juga mendapati telefon bimbit yang mula dipasarkan secara komersial di negara ini lebih 10 tahun lalu, kini mengambil alih fungsi khidmat talian tetap dengan hampir 60 peratus daripada pemilik telefon bimbit tidak melanggan khidmat talian tetap.
Kajian itu berasaskan populasi 12.3 juta pengguna telefon bimbit yang direkodkan SKMM.
Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Industri SKMM, Bistamam Siru Abdul Rahman, berkata kajian merumuskan telefon bimbit kini menjadi suatu keperluan dan peralatan peribadi dalam gaya hidup rakyat Malaysia.
Apabila kadar pemilikan telefon bimbit menghampiri separuh daripada populasi negara, kita dapat menilai bahawa telefon bimbit kini menjadi peralatan penting dan peribadi sifatnya.
Malah, ada sekolah melaporkan hampir separuh daripada murid Tahun Empat, Lima dan Enam memiliki telefon bimbit, katanya pada sidang media mengumumkan hasil kajian itu di sini semalam.
Ini adalah kali pertama SKMM melakukan kajian penggunaan telefon bimbit di kalangan rakyat Malaysia yang berdasarkan sampel 4,925 pelanggan telefon bimbit yang dipilih secara rawak melalui sistem komputer.
Kajian hampir dua bulan mulai 22 Julai sehingga 19 September lalu dikendalikan di Pusat Soal Selidik Telefon Berkomputer (CATI) di Shah Alam membabitkan kos RM40,000. SKMM bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi tempatan yang berkongsi data dan maklumat mengenai pelanggan.
Antara lain, kajian melihat aspek negeri paling ramai pengguna telefon bimbit, etnik, umur dan jantina pengguna serta pecahan sektor pengguna bandar dan luar bandar.
Bistamam berkata, kajian juga merumuskan bahawa kemudahan telefon prabayar terus berkembang dan menguasai 80 peratus pasaran kerana menawarkan kos penggunaan telefon bimbit yang rendah.
Beliau berkata, pengendali telekomunikasi talian tetap seperti Telekom Malaysia Bhd (Telekom Malaysia) mungkin menerima kesan daripada penggunaan telefon bimbit yang tinggi di kalangan pengguna tempatan seperti yang direkodkan sekarang.
Bistaman berkata, 30 peratus daripada responden yang disoal selidik berpendapatan kurang RM1,000, manakala 19.1 peratus lagi tidak mempunyai gaji, iaitu pelajar sekolah dan suri rumah.
Sebanyak 41.5 peratus responden berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000, manakala 6.7 peratus lagi bergaji RM3,000 hingga RM5,000. Sebanyak 31 peratus daripada pengguna yang ditem ubual mempunyai pendidikan sehingga tahap sekolah menengah.
Sebanyak 41.2 peratus pengguna lagi mempunyai pendidikan menengah lebih tinggi, manakala 19.6 peratus pemegang diploma atau ijazah. Penemuan itu bagaimanapun tidak menunjukkan golongan berpendidikan tinggi tidak memiliki telefon bimbit kerana sampel yang dianalisa adalah kumpulan kecil dalam masyarakat.
Bistamam berkata, kajian juga menunjukkan 61.1 peratus daripada responden adalah pengguna lelaki, manakala 38.9 peratus lagi wanita.
Beliau berkata, 87.1 peratus daripada responden memiliki sebuah telefon bimbit, manakala 11.6 peratus pengguna lain mempunyai dua telefon dan 1.2 peratus lagi memiliki lebih daripada dua telefon bimbit.
Kajian juga menunjukkan 41.1 peratus pemilik menggunakannya pada kadar bil tidak lebih RM50 sebulan, manakala 33.9 peratus mempunyai bil antara RM50 hingga RM100 sebulan,” katanya.
Bistamam berkata, kajian juga mendapati 74 peratus pemilik telefon bimbit menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS), manakala 31.7 peratus menghantar pada kadar purata lebih lima SMS sehari.
Beliau berkata, SKMM akan melakukan kajian sama tahun depan selain dua lagi kajian penggunaan internet di kalangan rakyat Malaysia.
Kita yakin hasil kajian dapat dimanfaatkan syarikat Telco atau industri telekomunikasi tempatan merancang atau membangunkan produk, katanya.
Dipetik dari Berita Harian Oleh Shamshul Azree Samshir
AIFA – Telefon Bimbit Identiti Tempatan
Mac 1, 2006
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Sumber petikan: Utusan Malaysia
MUNGKIN ramai daripada kita yang tidak pernah mendengar perkataan
Aifa, jenama telefon pertama keluaran tempatan.
Biarpun belum dikenali di negara ini, sebenarnya telefon
Aifa telah lama menapak di negara lain seperti Indonesia.
Sudah tentu sukar membandingkan telefon ini dengan jenama-jenama telefon terkenal seperti Nokia, Motorola dan sebagainya kerana syarikat-syarikat pengeluar itu telah lama memperkenalkan telefon masing-masing.
Kelebihan ketara telefon ini ialah ia mempunyai aplikasi waktu solat yang membolehkan pengguna sentiasa diingatkan dengan rakaman azan apabila masuk sesuatu waktu solat.
Walaupun mempunyai ciri-ciri yang disesuaikan dengan masyarakat Muslim ini, Aifa tidak mengabaikan ciri-ciri penting yang perlu dalam sesebuah telefon bimbit masa kini yang menjadikan ia sebagai telefon yang universal.
Ketua Pegawai Eksekutif Aifa Telecomunication Sdn. Bhd., Aisan Fadhli Ab. Halim berkata, telefon Aifa mempunyai beberapa spesifikasi penting seperti menyokong kegunaan tiga jalur (tri-band) GSM 900/1800/PCS 1900.
“Ciri ini penting bagi mereka yang sering mengembara ke luar negara yang membolehkan mereka mengaktifkan fungsi perayauan antarabangsa,” katanya.
Telefon Aifa yang beridentiti kebangsaan ini juga telah mendapat kelulusan sepenuhnya daripada SIRIM QAS yang membuktikan kualitinya.
Model sulung yang memasuki pasaran tempatan adalah AF88 Simfoni dilengkapi dengan fungsi GPRS 10, SMS (khidmat pesanan ringkas) dan MMS (khidmat pesanan multimedia).
“Fungsi GPRS akan membolehkan pengguna mengakses Internet dengan lebar jalur yang lebih luas dan cepat untuk mendapatkan imej, data dan suara,” tambahnya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Model AF88, menurut Aisan juga mempunyai fungsi WAP 1.2.1 dan 14.4 KBit/s yang membolehkan pengguna dapat menggunakan pelbagai aplikasi GPRS seperti melihat trafik, menghantar/menerima gambar MMS dan sebagainya.
Telefon yang mempunyai dua skrin iaitu skrin biasa di dalam dengan resolusi warna 65,000 dan skrin luaran (apabila ditutup) warna 4,000.
Untuk skrin luaran, selain daripada boleh melihat paparan nombor dan nama pemanggil, telefon ini juga mempunyai aplikasi jam analog yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa pengguna menambah keceriaan skrin.
“Beberapa perkara yang menarik dengan AF88 seperti penyimpanan SMS dalam memori sehingga 150 hingga 200 mampu membuat pengguna selesa menggunakannya,” kata Aisan lagi.
Begitu juga dengan memori penyimpanan nama boleh menampung sehingga 500 nama.
AF88 mempunyai folder peribadi yang bertujuan memastikan mesej diterima disimpan dalam satu folder rahsia yang hanya boleh dibuka menggunakan kata laluan.
Aisan berkata, telefon berkenaan telah diolah untuk menepati kehendak khususnya masyarakat Muslim dengan menambah azan secara rakaman penuh daripada Imam Masjidilharam bagi jam penggera.
AF88 juga dilengkapi dengan 40 bunyi polifonik dan hiasan skrin (wallpaper) bagi menepati cita rasa pengguna.
Memandangkan ia merupakan telefon keluaran tempatan, Aifa juga telah memasukkan sebanyak 20 lagu Melayu popular yang boleh dijadikan sebagai nada dering.
“Pengguna boleh terus memilih lagu-lagu yang sesuai tanpa perlu berbelanja lebih dan bersusah payah memuat turun lagu-lagu lain,” tambahnya.
Kuasa bateri untuk tempoh menunggu ialah sehingga 180 jam dan bercakap sehingga tiga jam.
Aifa Telecommunication Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat milik penuh bumiputera bergiat aktif dalam bidang telekomunikasi dan telah beroperasi sejak lima tahun lepas dengan mempunyai kilang pengeluaran di Klang, Selangor.
Bahagian jualan dan pemasaran
Aifa telah menyusun tindakan pemasaran melibatkan beberapa strategi termasuk memilih dan melantik pengedar yang berkelayakan dengan menawarkan margin keuntungan yang tinggi antara RM80 hingga RM100 untuk setiap model yang dijual.
Aifa meletakkan sasaran mempunyai 250 pengedar dan ia akan dipilih berdasarkan konsep satu daerah satu pengedar.
Pendaftaran pengedar dan juga maklumat lanjut mengenai telefon bimbit ini boleh dibuat secara terus dari portal aifa di
www.aifa.com.my.
Di samping pengedar, Aifa turut memfokuskan penjualan kepada organisasi dan koperasi terpilih dan berdaftar dengan konsep bayaran secara ansuran sebanyak RM69 sebulan.

Aifa juga telah menjadi antara syarikat bumiputera yang telah memanfaatkan teknologi Internet dengan memperkenalkan konsep penjualan telefon melalui laman webnya.
Apabila mengunjungi laman web
Aifa, pengguna bukan sahaja boleh membeli telefon AF88 tersebut secara terus, tetapi juga portal berkenaan membekalkan segala maklumat tentang AF88 termasuk brosur, buku manual, spesifikasi dan pilihan warna.
Mulai 1 hingga 7 Mac ini, sebanyak 200 unit telefon tersebut akan ditawarkan dengan harga promosi RM599 bagi pembelian di laman webnya.
PM lancar telefon bimbit pertama M10
Februari 25, 2006
KUALA LUMPUR 24 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan telefon bimbit pertama negara M10 yang dikeluarkan oleh M Dot Mobile Sdn. Bhd (MMobile).
Telefon bimbit yang dibangunkan dan dicipta oleh jurutera-jurutera tempatan mempunyai ciri-ciri unik seperti waktu sembahyang, bunyi azan dan menentukan arah kiblat.
Abdullah semasa berucap melancarkan M10 memberitahu, beliau bangga dengan kejayaan Mmobile membangunkan serta mengeluarkan telefon bimbit pertama negara ini.
Katanya, walaupun M. Mobile sebuah syarikat kecil jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat pengeluar telefon bimbit besar di dunia tetapi berupaya untuk mereka bentuk dan mengeluarkan M10.
“Ini merupakan satu kejayaan besar dan saya bangga dengan keupayaan Mmobile untuk mengeluarkan telefon bimbit tersebut,” katanya.
Turut hadir pada pelancaran tersebut ialah Pengerusi Mmobile, Norhamzah Nordin dan CEO, Ir. Zainudin Mohd. Salleh.
Abdullah menambah, kejayaan Mmobile memasarkan telefon bimbit itu ke Arab Saudi juga merupakan kebanggaan negara.
“Saya juga berharap Mmobile dapat mengeluarkan telefon bimbit yang mempunyai ciri-ciri untuk pasaran yang lebih luas terutama bagi mereka yang bukan beragama Islam.
“Menumpukan pasaran kepada negara-negara Islam adalah baik tetapi ia akan lebih berkembang jika dapat dipasarkan di negara-negara lain,” katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan, Mmobile perlu terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana ia akan dapat membantu membangunkan produk yang lebih banyak, pelbagai serta untuk pasaran yang lebih luas.
Tegasnya, R&D adalah kunci kepada kejayaan sesebuah syarikat kerana walaupun ia kecil dari segi modal tetapi jika dapat membangunkan produk-produk yang bermutu dan sesuai dengan pasaran akan dapat mengalahkan syarikat-syarikat yang lebih besar.
Sumber: Utusan Malaysia 24 Feb 2006
Sasaran hasil Kosmo
Februari 21, 2006
KUALA LUMPUR 7 Feb. – Kosmo Technology Industrial Bhd menjangka perniagaan telefon bimbit nya akan menyumbang separuh daripada perolehannya dalam tempoh tiga tahun, kata Pengarah Urusannya Norhamzah Nordin.
Melalui pegangan 30 peratusnya dalam pengeluar telefon mudah alih tempatan, MMobile, Kosmo mensasarkan untuk menjual 20 juta hingga 25 juta unit telefon bimbit dalam tempoh lima tahun.
“Kita perlu mencapai sasaran itu bagi mencecah tahap yang sama yang dicapai pengeluar besar seperti Samsung dan Nokia. Ini bermakna mencapai agihan pasaran kira-kira tiga peratus,” kata Norhamzah kepada Bernama hari ini.
Sumber: Utusan Malaysia 8 Feb 2006
Waspada risiko radiasi telefon bimbit
Februari 3, 2006
Utusan Malaysia 25 April 2001
SATU laporan Reuters dari Philadelphia, Amerika Syarikat minggu lalu menyatakan bahawa satu class action (tindakan mahkamah oleh seorang plaintif bagi pihak sekumpulan plaintif yang ramai) telah difailkan di mahkamah terhadap syarikat pembuat dan pembekal telefon bimbit di negara itu.
Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan pada Jumaat, 20 April lalu itu, plaintif mendakwa bahawa bahang radiasi dari telefon bimbit yang digunakan oleh plaintif mendatangkan bahaya (menyebabkan mudarat) kepada kesihatan, termasuklah pelbagai infeksi (kesan paling ringan) dan kerosakan otak (kesan yang lebih teruk).
Dalam pernyataan tuntutan setebal 58 muka surat yang difailkan di mahkamah negeri Maryland di Baltimore, plaintif mendakwa bahawa pembuat dan pembekal telefon bimbit di negara itu tahu bahawa produk mereka ada mengeluarkan gelombang mikro radiasi di tahap yang tidak selamat bagi pengguna, tetapi sengaja tidak mendedahkan fakta itu kepada pengguna.
Sehubungan itu, satu lagi tuntutan yang serupa difailkan oleh plaintif lain di New York pada hari Khamis sebelumnya.
Antara syarikat yang disebutkan sebagai defendan dalam tuntutan mahkamah itu adalah Motorola Inc., Nokia Corp., Verizon Communications dan Sprint PCS. Sehingga hujung minggu lalu, defendan tersebut enggan mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung tindakan mahkamah ini, selain mengatakan bahawa kes itu sedang diteliti oleh peguam masing-masing.
Jurucakap Verizon Communications, Nancy Stark, bagaimanapun dilaporkan berkata bahawa standard keselamatan telefon bimbit ada ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan dan Pentadbiran Dadah dan Makanan (FDA) dan syarikatnya telah lama mematuhi standard tersebut.
Nancy menambah bahawa berasaskan kajian dan data sainstifik, FDA telah menyatakan bahawa telefon bimbit yang dipasarkan oleh syarikatnya tidak mendatangkan apa-apa risiko kepada kesihatan pengguna.
ASAS TUNTUTAN
Dalam tuntutannya, plaintif mendakwa bahawa cara biasa telefon bimbit digunakan (yang menghendaki pengguna meletakkannya rapat ke telinga) mendedahkan otak seorang itu kepada radiasi gelombang mikro yang boleh merosakkan DNA, menjejaskan fungsi sel dan aktiviti asas otak.
Dalam tuntutan mereka, plaintif tidak menuntut ganti rugi am kerana mudarat sebenar yang ditanggung (boleh jadi kerana kesukaran mengemukakan bukti mengenainya). Sebaliknya, plaintif menuntut wang pampasan untuk membeli peralatan telefon yang lebih selamat (tidak menimbulkan risiko), serta ganti rugi punitive (menghukum) yang akan ditaksirkan oleh juri.
INDUSTRI TELEFON BIMBIT
Industri telefon bimbit di Amerika Syarikat dianggarkan bernilai AS$53 bilion, manakala penggunanya dianggarkan berjumlah 113 juta orang, iaitu kira-kira kurang sedikit dari satu perlima pengguna seluruh dunia, yang dianggarkan (pada awal tahun 2001) berjumlah 625 juta orang. Pada setiap hari, lebih 30,000 pengguna baru telefon bimbit didaftarkan di Amerika.
Setakat ini, lebih sedozen tuntutan mahkamah telah difailkan oleh beberapa kumpulan plaintif terhadap industri ini. Boleh dikatakan semuanya gagal, baik yang difailkan di Amerika Syarikat mahupun di negara lain (seperti di China). Kebanyakan tuntutan itu ditolak di peringkat awal. Belum ada yang sampai hingga ke peringkat perbicaraan di hadapan mahkamah.
Dalam kes terbaru minggu lalu ini, ia difailkan oleh seorang peguam bernama Peter Angelos, yang banyak pengalaman mengendalikan kes serupa ini terhadap syarikat-syarikat rokok dan asbestos di Amerika dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
Pada Januari lalu, Angelos mewakili seorang pakar neurologis dari Baltimore dalam tindakan mahkamahnya, di mana pakar itu mendakwa telefon bimbitnya telah mengakibatkan ketumbuhan pada otaknya.
Akhbar tempatan, Baltimore Sun, dalam satu laporannya berhubung kes yang difailkan ini, menyarankan pengguna telefon bimbit di negeri itu untuk sentiasa memakai alat telinga apabila menggunakan telefon bimbit.
Akhbar itu selanjutnya memetik Angelos sebagai berkata bahawa kaedah `lebih selamat’ menggunakan alat telinga ini dengan sendirinya menunjukkan ada bahayanya menggunakan telefon bimbit tanpa alat telinga.
KAJIAN TERDAHULU
Mengikut kajian yang sebelum ini dijalankan oleh New England Journal of Medicine dan Persatuan Perubatan Amerika (AMA) tiada terdapat apa-apa bukti kukuh bahawa penggunaan telefon bimbit boleh menyebabkan ketumbuhan dalam otak kepada penggunanya.
Tetap bertahan
Namun begitu, Angelos tetap bertahan dengan dakwaannya bahawa risiko radiasi (RFR) dari penggunaan telefon bimbit sudah diketahui oleh ahli sains sejak pertengahan tahun 1960-an.
Kata Angelos lagi, kajian sains sudah lama membuktikan bahawa antenna yang dipakai pada telefon bimbit itu boleh mendeposit atau menyampaikan radiasi (RFR) pada badan manusia, boleh menembusi tisu manusia, apatah lagi menembusi otak manusia yang sudah pasti organ manusia paling lembut dan paling sensitif.
Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan olehnya itu, Angelos menekankan bahawa kesemua defendan tahu tentang penemuan sains ini tetapi mereka sengaja `menyembunyikannya, meremehkan kesahihannya dan berusaha terus menolaknya’ supaya mereka boleh terus berleluasa menjual dan mendagangkan produk mereka kepada pengguna, tanpa terikat kepada (mematuhi) standard keselamatan yang sewajarnya.
Satu laporan CNN Julai 2000 lalu memetik FDA sebagai berkata bahawa kajian mengenai risiko radiasi telefon bimbit di negara itu masih belum muktamad. Manakala ada kajian yang mengatakan ada bahaya, ada pula kajian lain yang menafikannya.
Oleh itu, kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan. Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, FDA menyarankan pengguna telefon bimbit untuk sentiasa menggunakan alat telinga bila menggunakan telefon.
FDA juga menasihatkan pengguna supaya menggunakan telefon bimbit untuk jangka waktu yang pendek sahaja. Andainya mereka berhasrat berbual atau berbincang panjang, gunakan telefon biasa dan jangan gunakan telefon bimbit.
MENGUKUR KADAR RADIASI
Mengikut Persatuan Industri Telekomunikasi Selular, satu cara menentukan sama ada radiasi yang dipancarkan oleh sebuah telefon bimbit itu sampai ke paras bahaya ataupun sebaliknya ialah dengan mengesan dan menentukan kadar penembusan radiasi itu (dipanggil specific absorption rate, SAR) kepada badan manusia.
Mengikut Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), kadar SAR paling maksimum yang dibenarkan ialah 1.6W/kg (1.6 watt bagi setiap satu kilogram). Jika sebuah telefon bimbit itu mengeluarkan kadar radiasi yang lebih tinggi daripada kadar tersebut, ia tidak lagi dikira selamat kerana kadar radiasi yang lebih tinggi itu boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.
Mengikut satu carta yang disediakan dalam sebuah laman web tajaan CNET, 10 jenis telefon bimbit di Amerika Syarikat yang dianggap hampir ke tahap merbahaya (tapi masih lagi di bawah paras maksimum yang ditetapkan oleh FCC) adalah seperti berikut -
(a) Ericsson T28 World – kadar SAR 1.49
(b) Nokia 5170i – kadar SAR 1.49
(c) Nokia Digital 5160 – kadar SAR 1.45
(d) Nokia 5170 – kadar SAR 1.45
(e) Denso TP 2200 – kadar SAR 1.44
(f) Samsung Uproar – kadar SAR 1.437
(g) Nokia 6162 – kadar SAR 1.42
(h) Nokia 6185i – kadar SAR 1.41
(i) Qualcomm QCP – 1960 – kadar SAR 1.41
(j) Kyocera QCP-6035 – kadar SAR 1.41
Alangkah baik sekali jika Kementerian Komunikasi dan Multimedia negara kita ini juga dapat mengeluarkan maklumat terperinci tentang kadar radiasi yang dipancarkan oleh beberapa jenis telefon bimbit yang ada dipasarkan di negara ini.
Dengan maklumat itu, kita boleh tahu apakah telefon bimbit yang kita miliki sekarang ini masih berada di bawah paras bahaya yang dinyatakan oleh FCC itu atau sebaliknya.
Sementara kita menunggu data sedemikian itu diumumkan oleh kerajaan kita, wajarlah sebagai langkah awalan kita gunakan alat telinga setiap kali kita berbual panjang menerusi telefon bimbit.
MMobile keluar telefon bimbit Januari
Januari 12, 2006
SYARIKAT pengeluar telefon bimbit tempatan, MMobile Sdn Bhd (MMobile) akan memperkenalkan model pertamanya Januari tahun depan bagi pasaran golongan pertengahan hasil kepakaran luar dan jurutera tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainudin Mohd Salleh, berkata selain model pertama itu, syarikat akan memperkenalkan enam model lain sepanjang 2006 yang akan memenuhi permintaan cita rasa pelanggan dan tahap pendapatan.
“Bagi mengeluarkan model telefon ini, kami sudah membelanjakan kira-kira RM10 juta setakat ini dan jumlah itu akan bertambah sehingga RM40 juta menjelang tahun depan.
“Kami menjangkakan model ini dapat dijual sehingga 850,000 unit di seluruh dunia pada tahun pertama pengenalannya dengan 350,000 unit adalah untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan VC Communications Sdn Bhd (VC Communications) dan Kosmo Technology Industrial Berhad (Kosmo Technology) di Kuala Lumpur, semalam.
Syarikat itu juga melantik Juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi sebagai duta jenama rasmi MMobile bagi mempromosi jenama MMobile.
Pada majlis itu, MMobile diwakili Zainudin manakala VC Communications oleh Ketua Pegawai Operasinya, Zain Shah Mohamed Sha dan Kosmo Technology diwakili Pengarah Urusannya, Norhamzah Nordin manakala Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management Sdn Bhd, Freddie Fernandez mewakili syarikatnya.
Majlis disaksikan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.
(Harian Metro – 25/10/2005)