Ekspo OIC jambatan baru ekonomi

Januari 11, 2006

Sumber petikan: Utusan Archive, Maklumat berkaitan, AIFA perkenal tiga telefon mudah alih dalam Ekspo OIC

PERTAMA kali dalam sejarah penubuhan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada tahun 1969, Malaysia sebagai tuan rumah sidang kemuncak ke-10 memperkenalkan Ekspo OIC. Selama enam hari bermula 14 Oktober lalu dan berakhir pukul 6 petang ini, ekspo itu berlangsung di kawasan seluas 20,000 meter persegi, bersebelahan dengan Pusat Konvensyen Putrajaya (PCC) yang menjadi tempat sidang kemuncak itu.

Ekspo ini dianjurkan oleh F&R Exhibition and Conference Sdn. Bhd., dengan penyertaan kira-kira 450 syarikat dari 30 negara anggota. Empat negara bukan anggota – China, Perancis, Taiwan dan Korea Selatan turut mengambil bahagian. China misalnya diwakili oleh 30 syarikat.

Ekspo ini menampilkan konsep showcase, pavilion korporat, pavilion industri dan bazar. Sambil melawat pameran para pengunjung dapat mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran ataupun nasyid.

Sebelum itu, selepas mendaftar diri, para pengunjung bolehlah mendapatkan minuman tin percuma Mecca-Cola yang akan berada di pasaran negara ini pada bulan depan. Minuman yang diusahakan oleh usahawan Perancis yang berasal dari Tunisia itu mengambil sempena nama sebuah puak Amerika dari Washington yang dibunuh oleh pengasas AS. Mecca-Cola diharap akan mengingatkan orang ramai bahawa pembunuhan kaum yang pertama ialah di AS dan tindakan keganasan yang pertama juga dilakukan di sana.

Kebanggaan

Ruang utama tapak ekspo itu mempamerkan kenderaan kebanggaan negara iaitu Proton. Sebagai tuan rumah Malaysia menampilkan pelbagai produk yang menjadi kebanggaan dan kejayaan negara termasuk dalam penyediaan perkhidmatan seperti Telekom, Tenaga Nasional Berhad, Petronas dan pelbagai agensi kerajaan lain.

Secara keseluruhannya, antara produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang ekspo itu ialah pendidikan, pelancongan, minyak dan gas serta makanan. Segmen evolusi kesenian dan tamadun Islam juga diadakan. Ia mempamerkan artifak seperti bongkah emas tulen menyerupai kucing duduk dan kacip hukum abad ke-16.

Begitu juga dengan koleksi pendekar zaman Kesultanan Melaka seperti buku Hikayat Hang Tuah, keris paku dulang, pisau tumbuk lada serta gelang Hang Tuah yang berusia hampir 500 tahun.

Turut menarik perhatian ialah koleksi peribadi Sultan Brunei yang berusia antara 200 hingga 900 tahun. Pavilion Brunei ini antara lain mempamerkan manuskrip dan mushaf al-Quran, tongkat dan tasbih. Koleksi seperti ini jarang dibawa ke luar negara dan dipamerkan di bangunan Darul Iftah di Bandar Seri Begawan.

Brunei secara keseluruhannya mempamerkan perkembangan dan kemajuan negara dalam bidang politik hubungan antarabangsa, pendidikan serta ekonomi.

Begitu juga dengan negara-negara lain yang mempamerkan kejayaan mereka dalam pelbagai bidang industri dan penyelidikan. Melalui ekspo ini, para pengunjung yang termasuk pemimpin negara-negara Islam dapat mengetahui dan mengenali lebih dekat, kejayaan yang ada di kalangan negara Islam. Dengan pendekatan ini, ia membuka peluang hubungan perdagangan yang lebih erat di kalangan anggota OIC. Dan secara tidak langsung, ia membuktikan keupayaan negara Islam dalam pelbagai bidang. Seperti kata Dr. Mahathir, masyarakat Islam bukannya golongan kelas kedua dalam semua hal.

Selepas penat melawat pelbagai kejayaan negara-negara anggota, bagi yang gemar membeli-belah bolehlah berkunjung ke bazar yang diadakan di tapak yang sama. Di situlah pelbagai barangan bukan sahaja dari Malaysia tetapi negara-negara lain dijual. Misalnya kurma Iran, batu atau tembikar China, karpet/permaidani dari Pakistan dan pelbagai lagi. Justeru bagi yang belum melawat, masih ada masa sehingga pukul 6 petang ini untuk berkunjung ke Ekspo OIC di samping melihat keindahan Putrajaya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: