AIFA – Telefon Bimbit Identiti Tempatan

Mac 1, 2006

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Sumber petikan: Utusan Malaysia

MUNGKIN ramai daripada kita yang tidak pernah mendengar perkataan
Aifa, jenama telefon pertama keluaran tempatan.

Biarpun belum dikenali di negara ini, sebenarnya telefon
Aifa telah lama menapak di negara lain seperti Indonesia.

Sudah tentu sukar membandingkan telefon ini dengan jenama-jenama telefon terkenal seperti Nokia, Motorola dan sebagainya kerana syarikat-syarikat pengeluar itu telah lama memperkenalkan telefon masing-masing.

Kelebihan ketara telefon ini ialah ia mempunyai aplikasi waktu solat yang membolehkan pengguna sentiasa diingatkan dengan rakaman azan apabila masuk sesuatu waktu solat.

Walaupun mempunyai ciri-ciri yang disesuaikan dengan masyarakat Muslim ini, Aifa tidak mengabaikan ciri-ciri penting yang perlu dalam sesebuah telefon bimbit masa kini yang menjadikan ia sebagai telefon yang universal.

Ketua Pegawai Eksekutif Aifa Telecomunication Sdn. Bhd., Aisan Fadhli Ab. Halim berkata, telefon Aifa mempunyai beberapa spesifikasi penting seperti menyokong kegunaan tiga jalur (tri-band) GSM 900/1800/PCS 1900.

“Ciri ini penting bagi mereka yang sering mengembara ke luar negara yang membolehkan mereka mengaktifkan fungsi perayauan antarabangsa,” katanya.

Telefon Aifa yang beridentiti kebangsaan ini juga telah mendapat kelulusan sepenuhnya daripada SIRIM QAS yang membuktikan kualitinya.

Model sulung yang memasuki pasaran tempatan adalah AF88 Simfoni dilengkapi dengan fungsi GPRS 10, SMS (khidmat pesanan ringkas) dan MMS (khidmat pesanan multimedia).

“Fungsi GPRS akan membolehkan pengguna mengakses Internet dengan lebar jalur yang lebih luas dan cepat untuk mendapatkan imej, data dan suara,” tambahnya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Model AF88, menurut Aisan juga mempunyai fungsi WAP 1.2.1 dan 14.4 KBit/s yang membolehkan pengguna dapat menggunakan pelbagai aplikasi GPRS seperti melihat trafik, menghantar/menerima gambar MMS dan sebagainya.

Telefon yang mempunyai dua skrin iaitu skrin biasa di dalam dengan resolusi warna 65,000 dan skrin luaran (apabila ditutup) warna 4,000.

Untuk skrin luaran, selain daripada boleh melihat paparan nombor dan nama pemanggil, telefon ini juga mempunyai aplikasi jam analog yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa pengguna menambah keceriaan skrin.

“Beberapa perkara yang menarik dengan AF88 seperti penyimpanan SMS dalam memori sehingga 150 hingga 200 mampu membuat pengguna selesa menggunakannya,” kata Aisan lagi.

Begitu juga dengan memori penyimpanan nama boleh menampung sehingga 500 nama.

AF88 mempunyai folder peribadi yang bertujuan memastikan mesej diterima disimpan dalam satu folder rahsia yang hanya boleh dibuka menggunakan kata laluan.

Aisan berkata, telefon berkenaan telah diolah untuk menepati kehendak khususnya masyarakat Muslim dengan menambah azan secara rakaman penuh daripada Imam Masjidilharam bagi jam penggera.

AF88 juga dilengkapi dengan 40 bunyi polifonik dan hiasan skrin (wallpaper) bagi menepati cita rasa pengguna.

Memandangkan ia merupakan telefon keluaran tempatan, Aifa juga telah memasukkan sebanyak 20 lagu Melayu popular yang boleh dijadikan sebagai nada dering.

“Pengguna boleh terus memilih lagu-lagu yang sesuai tanpa perlu berbelanja lebih dan bersusah payah memuat turun lagu-lagu lain,” tambahnya.

Kuasa bateri untuk tempoh menunggu ialah sehingga 180 jam dan bercakap sehingga tiga jam.

Aifa Telecommunication Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat milik penuh bumiputera bergiat aktif dalam bidang telekomunikasi dan telah beroperasi sejak lima tahun lepas dengan mempunyai kilang pengeluaran di Klang, Selangor.

Bahagian jualan dan pemasaran
Aifa telah menyusun tindakan pemasaran melibatkan beberapa strategi termasuk memilih dan melantik pengedar yang berkelayakan dengan menawarkan margin keuntungan yang tinggi antara RM80 hingga RM100 untuk setiap model yang dijual.

Aifa meletakkan sasaran mempunyai 250 pengedar dan ia akan dipilih berdasarkan konsep satu daerah satu pengedar.

Pendaftaran pengedar dan juga maklumat lanjut mengenai telefon bimbit ini boleh dibuat secara terus dari portal aifa di
www.aifa.com.my.

Di samping pengedar, Aifa turut memfokuskan penjualan kepada organisasi dan koperasi terpilih dan berdaftar dengan konsep bayaran secara ansuran sebanyak RM69 sebulan.


Aifa juga telah menjadi antara syarikat bumiputera yang telah memanfaatkan teknologi Internet dengan memperkenalkan konsep penjualan telefon melalui laman webnya.

Apabila mengunjungi laman web
Aifa, pengguna bukan sahaja boleh membeli telefon AF88 tersebut secara terus, tetapi juga portal berkenaan membekalkan segala maklumat tentang AF88 termasuk brosur, buku manual, spesifikasi dan pilihan warna.

Mulai 1 hingga 7 Mac ini, sebanyak 200 unit telefon tersebut akan ditawarkan dengan harga promosi RM599 bagi pembelian di laman webnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: