Separuh rakyat Malaysia miliki telefon bimbit

Mac 5, 2006

CYBERJAYA: Hampir separuh daripada 25.3 juta rakyat Malaysia memiliki telefon bimbit dengan 30 peratus daripadanya berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapati Selangor, termasuk Putrajaya adalah negeri paling ramai pengguna telefon bimbit iaitu 24.8 peratus, diikuti Johor 13.2 peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 9.5 peratus.

Kajian juga mendapati remaja dan kanak-kanak menjadi kumpulan pemilik telefon bimbit kedua terbesar iaitu 12.3 peratus.

SKMM juga mendapati telefon bimbit yang mula dipasarkan secara komersial di negara ini lebih 10 tahun lalu, kini mengambil alih fungsi khidmat talian tetap dengan hampir 60 peratus daripada pemilik telefon bimbit tidak melanggan khidmat talian tetap.

Kajian itu berasaskan populasi 12.3 juta pengguna telefon bimbit yang direkodkan SKMM.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Industri SKMM, Bistamam Siru Abdul Rahman, berkata kajian merumuskan telefon bimbit kini menjadi suatu keperluan dan peralatan peribadi dalam gaya hidup rakyat Malaysia.

Apabila kadar pemilikan telefon bimbit menghampiri separuh daripada populasi negara, kita dapat menilai bahawa telefon bimbit kini menjadi peralatan penting dan peribadi sifatnya.

Malah, ada sekolah melaporkan hampir separuh daripada murid Tahun Empat, Lima dan Enam memiliki telefon bimbit, katanya pada sidang media mengumumkan hasil kajian itu di sini semalam.

Ini adalah kali pertama SKMM melakukan kajian penggunaan telefon bimbit di kalangan rakyat Malaysia yang berdasarkan sampel 4,925 pelanggan telefon bimbit yang dipilih secara rawak melalui sistem komputer.

Kajian hampir dua bulan mulai 22 Julai sehingga 19 September lalu dikendalikan di Pusat Soal Selidik Telefon Berkomputer (CATI) di Shah Alam membabitkan kos RM40,000. SKMM bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi tempatan yang berkongsi data dan maklumat mengenai pelanggan.

Antara lain, kajian melihat aspek negeri paling ramai pengguna telefon bimbit, etnik, umur dan jantina pengguna serta pecahan sektor pengguna bandar dan luar bandar.

Bistamam berkata, kajian juga merumuskan bahawa kemudahan telefon prabayar terus berkembang dan menguasai 80 peratus pasaran kerana menawarkan kos penggunaan telefon bimbit yang rendah.

Beliau berkata, pengendali telekomunikasi talian tetap seperti Telekom Malaysia Bhd (Telekom Malaysia) mungkin menerima kesan daripada penggunaan telefon bimbit yang tinggi di kalangan pengguna tempatan seperti yang direkodkan sekarang.

Bistaman berkata, 30 peratus daripada responden yang disoal selidik berpendapatan kurang RM1,000, manakala 19.1 peratus lagi tidak mempunyai gaji, iaitu pelajar sekolah dan suri rumah.

Sebanyak 41.5 peratus responden berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000, manakala 6.7 peratus lagi bergaji RM3,000 hingga RM5,000. Sebanyak 31 peratus daripada pengguna yang ditem ubual mempunyai pendidikan sehingga tahap sekolah menengah.

Sebanyak 41.2 peratus pengguna lagi mempunyai pendidikan menengah lebih tinggi, manakala 19.6 peratus pemegang diploma atau ijazah. Penemuan itu bagaimanapun tidak menunjukkan golongan berpendidikan tinggi tidak memiliki telefon bimbit kerana sampel yang dianalisa adalah kumpulan kecil dalam masyarakat.

Bistamam berkata, kajian juga menunjukkan 61.1 peratus daripada responden adalah pengguna lelaki, manakala 38.9 peratus lagi wanita.

Beliau berkata, 87.1 peratus daripada responden memiliki sebuah telefon bimbit, manakala 11.6 peratus pengguna lain mempunyai dua telefon dan 1.2 peratus lagi memiliki lebih daripada dua telefon bimbit.

Kajian juga menunjukkan 41.1 peratus pemilik menggunakannya pada kadar bil tidak lebih RM50 sebulan, manakala 33.9 peratus mempunyai bil antara RM50 hingga RM100 sebulan,” katanya.

Bistamam berkata, kajian juga mendapati 74 peratus pemilik telefon bimbit menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS), manakala 31.7 peratus menghantar pada kadar purata lebih lima SMS sehari.

Beliau berkata, SKMM akan melakukan kajian sama tahun depan selain dua lagi kajian penggunaan internet di kalangan rakyat Malaysia.

Kita yakin hasil kajian dapat dimanfaatkan syarikat Telco atau industri telekomunikasi tempatan merancang atau membangunkan produk, katanya.

Dipetik dari Berita Harian Oleh Shamshul Azree Samshir

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: