Telefon bimbit penyelamat daripada harimau

Mei 7, 2006

Oleh: JAMDI NASIR
Utusan Malaysia 26 Mei 2001

HULU TERENGGANU 25 Mei – Telefon bimbit yang dibawa ke kebun menyelamatkan seorang pemuda daripada menjadi mangsa serangan seekor harimau di kawasan pertanian kelompok Bukit Binjai, Kampung Tok Dor, di sini hari ini.

Dalam keadaan mencemaskan, pemuda terbabit, Mohd. Fauzi Ismail, 18, dapat menghubungi bapanya menggunakan telefon tersebut bagi meminta bantuan.

Pada waktu itu dia bersembunyi di atas tebing bukit.

Harimau tersebut yang pada mulanya mengejar mangsa hanya menunggu di kawasan bawah tebing, sambil cuba memanjat tebing berkenaan.

Ketika menceritakan detik cemas itu Mohd. Fauzi berkata, ia berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika dia sedang berjalan kaki ke kebun nanas bapanya.

“Saya terserempak dengan harimau itu dalam jarak kira-kira 20 meter dan terus lari memanjat tebing bukit setinggi kira-kira lima meter.

“Selepas itu saya terus bersembunyi dalam semak di situ tetapi harimau itu masih berlegar-legar seolah-olah mahu naik ke atas tebing dan sesekali ia mencakar tanah,” katanya.

Menurutnya, selepas 15 minit melihat harimau itu terus berusaha mengesannya, dia lantas menghubungi bapanya menggunakan telefon milik abangnya yang kebetulan dibawa bersama.

Mohd. Fauzi berkata, bapanya yang berada di satu lagi kebun yang mereka usahakan kira-kira 200 meter dari situ kemudian bergegas ke tempat kejadian dan melepaskan satu das tembakan ke udara sebaik sahaja melihat harimau berkenaan.

Bapanya, Ismail Mohamad, 47, pula berkata, apabila mendengar tembakan, harimau tersebut yang berada kira-kira 50 meter berpaling memandang ke arahnya.

“Tetapi harimau setinggi kira-kira satu meter dan panjang kira-kira dua meter itu masih tidak lari sebaliknya terus berlegar-legar seolah-olah mahu naik ke atas tebing.

“Selepas melepaskan tembakan kali kedua barulah harimau itu melarikan diri ke bawah bukit,” katanya yang mengusahakan kebun di kawasan itu sejak tiga tahun lalu.

Katanya, beliau tidak mahu terus menembak harimau tersebut kerana bimbang menyalahi undang-undang hidupan liar tetapi tetap bersedia berbuat demikian jika ia bertindak ganas.

Ismail memberitahu, sebanyak tujuh keluarga mengusahakan tanaman kelompok di kawasan berkenaan dan hanya seorang yang pernah terserempak dengan harimau lama dahulu.

Sementara itu Mohd. Fauzi berkata, dia tidak akan serik untuk terus membantu keluarga di kawasan itu meskipun berhadapan pengalaman menakutkan itu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: