Iktiraf ciptaan tempatan – Rakyat jangan sangsi barangan buatan Malaysia – PM

Oktober 9, 2006

Oleh: RAJA LUVENA SHARIFUDDIN dan HELMI MOHD. FOAD (Utusan Malaysia, 9 Oktober 2006)

PUTRAJAYA 8 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat mengubah sikap dan mengiktiraf pencipta tempatan yang menghasilkan produk berteknologi tinggi, sekali gus membuang rasa sangsi terhadap keupayaan mereka.

Menurut Perdana Menteri, rakyat perlu memberi peluang dan galakan kepada anak- anak tempatan dengan cara membeli serta menggunakan produk ciptaan mereka yang setanding dengan produk import.

Sehubungan itu, beliau mahu institusi kerajaan, swasta dan rakyat mengutamakan produk berteknologi tinggi rekaan anak tempatan bagi membolehkan reka cipta tersebut berkembang maju dan lebih berkualiti.

Abdullah berpendapat, rakyat Malaysia agak sangsi untuk menggunakan produk tempatan tetapi akan menggunakan barangan import tanpa ragu-ragu terhadap kualitinya.

“Kita bersikap pemaaf apabila barangan import yang kita beli ada kecacatan tetapi kurang memaafkan apabila melibatkan barangan buatan tempatan.

“Mari kita ubah sikap kita dan bersedia untuk mengiktiraf keupayaan pencipta kita sendiri dan produk mereka,” katanya ketika berucap melancarkan IRIS Oxy-Hydrogen Mobile Incinerator, di sini hari ini.

Insinerator bergerak mesra alam yang dijanakan oleh gas oksigen dan hidrogen itu dibangunkan oleh syarikat tempatan, IRIS Corporation Bhd. dan merupakan teknologi pertama seumpamanya di Malaysia.

Insinerator itu merupakan insinerator generasi baru yang boleh melakukan pembakaran bebas toksik terhadap sisa pepejal dan cecair domestik.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi IRIS Corporation Bhd., Tan Sri Razali Ismail dan Pengarah Urusannya, Datuk Tan Say Jim.

Pada majlis tersebut, Abdullah turut menyaksikan upacara menandatangani perjanjian pembelian antara IRIS Corporation dan PTJ Technology Co. Ltd. of Thailand yang telah memesan satu unit insinerator bergerak itu.

Menurut Perdana Menteri, rakyat perlu menukar sikap mereka yang lebih suka membeli teknologi tinggi yang direka oleh negara lain seperti Jepun dan Korea dan percaya tentang kebaikannya.

Beliau berkata, ini kerana peralatan berkenaan sebenarnya boleh dibekalkan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Bagaimanapun beliau sedar bahawa terdapat produk di negara ini yang masih belum mencapai tahap teknologi yang lebih tinggi berbanding produk luar negara.

“Kita belum sampai lagi (tahap itu) kerana ada alat canggih kita kurang sempurna. Tetapi apa yang boleh kita boleh buat dan yang penting bagi kita ialah institusi kerajaan dan swasta memberi ruang dan peluang untuk anak tempatan memperkenalkan teknologi mereka,” katanya.

Dengan cara itu, menurut Abdullah, syarikat tempatan akan menerima maklum balas daripada pengguna mengenai sebarang kekurangan dan kelemahan produk tersebut.

“Setelah itu, produk tersebut akan ditambah baik dan diperelokkan supaya nanti alat itu bertambah canggih dan lebih tinggi kapasitinya.

“R&D tidak dapat berkembang jika hasilnya tidak diberi pengiktirafan dan kerelaan untuk mencuba pakai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak memberi galakan kepada pembangunan kemajuan sains dan teknologi terutama berhubung kait dengan pelbagai produk peralatan dan jentera yang dapat digunakan oleh rakyat negara ini.

“Kalau kita tidak sedia membeli atau mencuba pakai, maka penyelidikan dan pembangunan (R&D) anak tempatan tidak dapat berkembang dan mereka akan rasa kecewa serta tidak ada keyakinan,” katanya.

Mengenai insinerator bergerak mesra alam yang dibangunkan oleh IRIS Corporation itu, Perdana Menteri melahirkan rasa gembira kerana produk berteknologi tinggi itu dihasilkan oleh anak tempatan.

Beliau juga yakin produk tersebut mempunyai potensi untuk berkembang maju.

“Apa yang menggembirakan, sebelum kita beli Thailand sudah beli dulu,” katanya.

Satu Respons to “Iktiraf ciptaan tempatan – Rakyat jangan sangsi barangan buatan Malaysia – PM”

  1. Cindee Says:

    if you can…please show the product that madein malaysia..


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: